Pages

Wednesday, November 2, 2011

Aku Insan Yang Berharap


Aku Insan Yang Berharap

Aku seorang insan, menggalas suatu amanah suci daripada Tuhanku seperti yang telah dimetrai di alam roh suatu ketika dahulu. Siang dan malam silih berganti sebagai peneman setia untukku isi coretan kehidupan pada buku amalan. Pada dasarnya aku mungkin adalah ‘driver’ bagi ‘trip’ duniawi ini. Namun, pada hakikat Allah Tuhan Yang Maha Agong lebih berhak ke atas diriku. Mengatur qada’ dan qadar hidupku. Aku dihidupkan pada masa dan ketika yang telah ditetapkan. Aku dipilih sebagai Muslim adalah dengan Rahmat Allah. Aku dibesarkan dengan kasih sayang ibu dan ayah yang penyayang, kerana sifat Rahim Allah. Aku diberi didikan yang baik kerana Allah memberi peluang. Bahkan semuanya adalah kurniaan daripadaNya, Allah Azza Wa Jall.

Pada suatu ketika aku senyum gembira dengan kegembiraan dan kejayaan yang dikecapi. Kadang pula berduka dan menangis kerana hati kecewa. Wahai hati, usah gelisah di kala diri ditimpa derita. Jangan terlalu kecewa seolah-olah itulah penamat cerita. Tetapi beringatlah wahai hati, itu semua adalah kehendak Ilahi. Mengapa ketika setiap yang direncanakan memperoleh kejayaan hati boleh bersyukur kepada Allah, sedangkan jika tidak berjaya hati sangat berat untuk bersyukur? Bukankah Tuhan yang memberikan aku kekalahan itu adalah Tuhan yang sama memberikan aku kejayaan?

Sedarlah wahai hatiku, ketika perancangan telah diatur, setelah gerak kerja telah diusahakan, hasilnya tetap pada hak Allah. Manusia mungkin telah merancang dengan baik, tetapi Allah jualah sebaik-baik perancang. Semuanya di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui. Apa sahaja natijahnya, baik atau buruk pasti itu yang terbaik daripada Allah SWT. Belajarlah untuk menerima dengan hati yang terbuka. Meredhai semua ketentuan Allah swt yang disebaliknya pasti penuh dengan hikmah.

Kini aku sedang merancang sesuatu yang sangat aku impikan. Ikhtiar telah digunakan dan usaha telah digerakkan. Semuanya untuk kebahagiaan diriku sekeluarga. Hati berdebar dan gelisah menunggu keputusan yang belum tiba. Mungkin usaha kali ini lebih gigih memandangkan tiga kali sebelum ini Allah belum izinkan ia berjaya.

Wahai hati, jangan terlalu mengharap pada makhluk, biarpun mereka punya kuasa dan pangkat sedangkan mereka sendiri tidak pernah mampu mengawal nasib sendiri. Jangan terlalu percayakan makhluk kerana makhluk boleh lembut gusi dari lidah. Jangan meminta jaminan daripada makhluk sedangkan kehidupan mereka pada sesaat selepas inipun masih belum terjamin. Sebaliknya berharaplah kepada Allah, percayalah kepada aturan Allah dan mintalah daripada Allah. Beringatlah wahai hati, bahawa sesungguhnya tiada sebaik-baik tempat bergantung melainkan bergantung kepada Allah swt. Tiada tempat untuk mengharap melainkan Allah jualah sebaik-baik tempat berharap.

Tiada suatu makhluk pun yang mampu menjamin kehidupannya sendiri walau hanya sesaat. Biarpun diri punya kekuatan, kekayaan, kemampuan dan kekuasaan, itu hanyalah ibarat jarum yang dicelup ke dalam lautan yang luas. Siapalah makhluk yang mampu menandingi kekuasaan Allah yang memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi. Sebijak-bijak Fir’aun laknatullah yang boleh meramal kelahiran seorang budak lelaki yang akan menumbangkan kerajaannya sehingga mengarahkan semua bayi lelaki dibunuh akhirnya membesarkan sendiri Nabi Musa a.s daripada kecil. Semulia-mulia golongan Iblis suatu ketika dahulu akhirnya menjadi golongan yang dilaknat oleh Allah swt.

Dengan itu, hatiku yang gelisah kembali tenang. Apa sahaja natijahnya akan ku terima dengan seadanya. Berjaya atau tidak aku serahkan semuanya bulat-bulat kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Sebaik-baik Pengatur. Semoga hati ini akan sentiasa terpahat perasaan syukur, lidah ini tidak pernah lekang dengan kalimah suci Alhamdulillah, dahi ini tidak pernah sekali-kali berasa jemu untuk sujud menyembah Ilahi. Berdoalah dan jangan pernah putus harapan kepada Allah swt. Yakinlah wahai hatiku, pastinya Allah swt telah merencanakan sesuatu yang terbaik buat agamaku sekeluarga, kebahagiaanku sekeluarga dan kehidupanku sekeluarga.


















- aku insan yang sentiasa berharap…

Tuesday, September 13, 2011

Pengembaran Seorang Musafir

Situasi di dalam bilik darjah:


Ustaz : Alhamdulillah kita perlu bersyukur kepada Allah swt kerana hari ini bertambah lagi sehari usia kita di dunia ini. Agak-agak kamu, mengapa Allah masih menghidupkan kita pada hari ini?
Afifi   : Kerana Allah sayangkan kita.
Ustaz : Afifi, jika begitu, adakah orang yang meninggal dunia semalam tidak di sayangi oleh Allah swt?
Afifi   : emmmm...
Ustaz : Pelajar-pelajar sekalian, Allah swt masih mengidupkan kita pada hari ini tandanya Allah swt masih memberi kita peluang. Peluang untuk memperbaiki diri. Jika ada manusia yang berdosa kepada Allah semalam, maka hari ini adalah peluang terbaik untuknya bertaubat. Orang yang meninggal dunia semalam dalam keadaan bersih dari dosa dengan orang yang hidup hari ini tetapi masih bergelumang dengan maksiat. Maka siapa yang lebih beruntung?
Imran : Orang yang meninggal dunia semalam dalam keadaan tidak berdosa Ustaz. 
Ustaz : Sesiapa yang beranggapan Allah swt menambahkan usianya sebagai tanda sayang dari Allah akan mudah terlalai kerana perasaan itu akan membuatkan dirinya selesa dan alpa. Sedangkan orang yang semakin takut dengan usianya yang bertambah dek kerana bimbangkan persoalan bagaimana dia menghabiskan usianya akan menjadikan setiap saat yang berlalu diisi dengan amalan ruhiyah kepada Tuhan Penciptanya.
Hanif : Kalau begitu Ustaz, salah ke kalau kita berdoa mohon dipanjangkan usia?
Ustaz : Tidak salah Hanif. Cuma perlu dipohon usia yang panjang itu di penuhi dengan ketaatan kepada Allah swt. 
Afifi   : Ustaz, bagaimana kita nak pastikan usia kita tidak dihabiskan dengan perkara sia-sia?
Ustaz : Bagus soalan tu Afifi. Ustaz teringat sebuah kisah yang berlaku kepada Abdullah ibnu Umar R.A.  Bagaimana Rasulullah SAW menasihatinya tentang tips untuk berjaya di dalam  kehidupan di atas muka bumi ini, seperti yang telah disoal oleh Afifi tadi. Ia adalah sepertimana yang terkandung di dalam sebuah hadis;


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللهِ rبِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا  كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍوَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلاَ تَنْتَظِرِ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ.

رواه البخارى


Daripada Abdullah b Umar r.a berkata: Rasulullah saw memegang bahuku seraya bersabda: Jadikanlah diri kamu di atas dunia ini sebgaai seorang perantau atau pengembara. Ibn Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah tunggu menjelangnya waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah tunggu menjelangnya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan kematianmu.





Berdasarkan nasihat Baginda Rasulullah SAW tersebut, kita dapati Rasulullah SAW menyuruh kita menjadi seperti seorang perantau atau pengembara. Dengan bahasa yang mudahnya kita perlu menjadi seperti seorang yang sedang dalam perjalanan jauh. Apakah hikmah disebalik seorang pengembara?

1. Seorang pengembara yang sedang di dalam perjalanannya adalah sama seperti seorang manusia yang sedang melalui fasa kehidupan di atas muka bumi ini. Kehidupan di dunia tidak lain hanyalah sebagai tempat persinggahan sementara untuk melalui kehidupan yang seterusnya iaitu di alam barzakh dan alam akhirat.

2. Sebagai pengembara yang akan merempuhi liku-liku perjalanan, dirinya memerlukan bekal yang mencukupi. Bekalan yang akan digunakan disaat dirinya amat memerlukan. Alangkah beruntungnya seorang pengembara yang telah bersedia dengan bekalan yang mencukupi untuk memenuhi keperluannya di sepanjang perjalanan. Bukankah sebagai seorang hamba kerdil di atas muka bumi ini, kita amat memerlukan bekal amalan untuk menjamin kesejahteraan kita di alam seterusnya? Persediaan yang rapi pasti tidak akan menjadikan kita sebagai orang-orang yang akan menyesal di kemudian hari.

3. Rasulullah SAW mengingatkan kita sebagai seorang pengembara, masa adalah harta yang amat berharga dan perlu digunakan setiap detiknya dengan sebaik mungkin. Apabila tiba waktu pagi, usah dilengahkan perjalanan untuk menunggu petang dan begitu juga jika sebaliknya. Masa yang berlalu jangan disia-siakan seolah-olah saat yang seterusnya masih dijamin milik kita.

4. Begitu juga peringatan Rasulullah SAW supaya kita tidak mensia-siakan peluang kesihatan tubuh badan yang Allah anugerahkan kepada kita. Murnikan diri kita dengan amalan yang terbaik untuk dipersembahkan kepada Rabbul Jalil. Mengapa perlu menunggu sakit baru terketar-ketar tangan menadah tangan, tercungap-cungap menyeru nama Allah?

5. Namun, di saat diri yang lemah itu masih lagi bernilai berbanding insan yang amat kesuntukan masa di kala roh di pangkal halqumnya. Gunalah peluang hidup untuk memenuhi timbangan amal, sebelum tibanya ajal menjemput kita. Biar sekuat mana teriakan keinsafan kita dan penyesalan kita di kala itu, putaran roda kehidupan kita tidak akan berpatah balik.

Ku pohon redhaMu Ya Allah

~Memberi ingatan supaya diri ini akan lebih beringat~
Wallahu Ta'ala A'lam

Monday, September 5, 2011

Warkah Buat Umi Nur Safiyya Amani

Dengan nama Allah ku mulakan bicara, menyusun bicara, merungkai sebak di dada, meringankan berat di kepala...






















Warkah buat sayangku Umi kepada Nur Safiyya Amani,

Umi Nur Safiyya Amani,

Baru semalam kita berpisah, tetapi hati ini terlalu merindui Umi dan Safiyya. Seminggu bersama bagaikan hanya sesaat cuma. Sebak di dada teringatkan Umi dan Safiyya. Terasa begitu panjang untuk abang habiskan masa yang berlalu tanpa kalian di sisi. Sayu hati mengenangkan hubungan kita yang dekat tetapi jauh pada tempat. Hanya telefon dan video ringkas menjadi pengubat.

Bisikan di telinga membibitkan rasa geram dan marah. Mengapa begitu lama? Mengapa mereka tidak memahami? Mengapa mereka buat tidak kesah? Mengapa?? Hati menyampuk dengan iringan istighfar kepada 'Azza Wa Jall. Qada' dan Qadar itulah ketetapan Allah swt. Ujian Allah buat hamba-hambaNya yang terpilih. Natijah kepada sabar adalah bahagia.

Dengan itu, hati abang agak tenang dalam sayu. Sayu mengenangkan Umi Nur Safiyya Amani yang seorang diri di sana. Perlu berlagak kuat demi membahagiakan Nur Safiyya Amani. Terpaksa bersenyum di dalam kesedihan. Bermuka manis disebalik kepahitan. Cekalkan hati menggalas tanggungjawab dan amanah daripada Ilahi. 

Umi Nur Safiyya Amani,

Seandainya Allah mengizinkan, tak akan abang biarkan Umi bersendirian di sana. Pasti akan ku hulurkan tangan meringankan beban. Merendahkan bahu menjadi tempat sandaran. Manisnya bila kita bertiga bersama. Mengharungi suka dan duka dalam kehidupan. Bergerak ke mana berpaut tangan, berhadapan bila berbicara lisan.

Umi Nur Safiyya Amani yang dicintai,


Kelu lidah abang bila Umi cakap Umi sudah tidak kuat untuk uruskan semuanya sendirian. Tangisan Umi sangat menghibakan hati abang. Terasa bagai ingin sepantas kilat ke sana menemankan Umi dan Safiyya. Namun, seperti biasa, si suami perlu berlagak kuat untuk memberi dorongan buat si isteri. Pada hakikatnya, hanya Allah swt mengetahui semuanya. Mudahnya abang meminta Umi bersabar. Lima hari Umi menjadi ayah dan ibu Safiyya menguruskan urusan rumah sendirian. Sedangkan abang cuma di hujung minggu pergi meneman.

Umi Nur Safiyya Amani,


Demi Allah swt, abang akan menjadi saksi di hadapan Allah Azza Wa Jalla, betapa Umi seorang ibu dan isteri yang terbaik buat abang. Kecekalan, ketabahan, kesabaran dan kesungguhan Umi membuatkan abang begitu kerdil dalam pengorbanan rumah tangga. Apa yang abang sering doakan, semoga Allah swt mengizinkan kekuatan Umi tidak akan pernah luntur, kecekalan Umi tidak akan pernah padam, dan tubuh badan yang sihat sepanjang berjuang di sana. Sejuta kemaafan buat Umi Nur Safiyya Amani kerana tidak dapat berkongsi beban di sana. Mungkin hanya sedikit yang telah ditunaikan, tetapi banyak yang Umi laksanakan.

Umi Nur Safiyya Amani,


Sama-samalah kita berdoa kepada Allah swt Tuhan Pemilik segala hati, agar melembutkan hati insan-insan yang berkenaan supaya permohonan kita dapat diluluskan. Semoga apa yang Allah swt aturkan kepada kita sekeluarga mempunyai hikmah kebaikan untuk dunia dan akhirat. Kita dapat merancang, namun Allah swt jualah Sebaik-baik Perancang.

Amin Ya Rabbal 'Alamin


Friday, August 19, 2011

Mahalnya Pengalaman Itu


Syukurku pada Mu Ya Allah swt. Untuk ke sekian kalinya, dengan sifatMu Yang Maha Pemurah, Engkau masih lagi memberikan peluang untukku merasai segala macam nikmat daripadaMu Ya Allah. Dan pastinya ia datang sebagai suatu amanah untukku pikul dan laksanakan dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang khalifahMu.

Menjelang 17 Ramadhan 1432H, Allah swt memberi izin kepadaku untuk merasai sebuah pengalaman yang amat bermakna sepanjang kehidupanku ini. Aku dijemput untuk memberikan sedikit perkongsian ilmu bersama-sama dengan saudara-saudara di Pusat Serenti PUSPEN Karangan, Kulim. Pada hakikatnya aku bukanlah seorang yang layak untuk tugas itu, namun aku merasakan itu adalah suatu peluang yang diberikan oleh Allah swt. Mungkin dengan itu, aku akan lebih kenal siapa diriku, dan semakin tawaduk dengan Robbul Jalil.

Seperti biasa aku perlukan sedikit maklumat mengenai 'audience' di PUSPEN. Dan internet adalah penyelesaiannya. Alhamdulillah dengan sedikit maklumat, aku sediakan sedikit bahan power point dan video untuk dikongsikan nanti. Mujurlah Allah swt memudahkan urusanku dan ianya dapat disiapkan pada pagi itu.

Sampai saja di sana, Ust Abd Latif sedang menunggu untuk mengiringiku masuk. Katanya kalau diikutkan perlu tinggal ic dan h/p di post pengawal. Tetapi aku tidak pula diarahkan demikian. Mungkin sebab diiringi oleh beliau dan mungkin masuk atas nama majlis. 

Permulaan majlis, seorang pelatih mengalunkan ayat-ayat suci al-Quranul Kareem. Subhanallah, merdu suaranya dan baik sekali bacaannya. Maksudnya beliau memang mempunyai latar belakang mengaji al-Quran yang baik sebelum masuk ke situ. Semoga ayat-ayat mengenai pengharaman dan keburukan arak, judi serta menenung nasib memberi peringatan buat semua hadirin.

Dengan jumlah pelatih seramai 400 orang lebih telah memenuhi ruang-ruang masjid, aku sedikit terasa gugup untuk memulakan perkongsian ilmu. Namun, keberkatan doa yang dibacakan oleh Nabi Musa ketika berhadapan dengan Firaun dan selawat ke atas Nabi, lama-kelamaan aku semakin selesa.

Seusai slot perkongsian ilmu, kami berbuka puasa beramai-ramai. Apabila azan Maghrib di alunkan, Subhanallah merdunya suara. Begitu juga azan Isyak. Ketiga-tiga mereka mempunyai suara yang merdu. Aku amat yakin, mereka mempunyai asas ilmu agama tetapi mungkin kerana tersalah pilih kawan, atau faktor persekitaran, mereka tersasar seketika daripada landasan syariat Islam.

Sepanjang aku bersama dengan mereka sehingga selesai solat terawih, beberapa perkara yang dapatku simpulkan di sini buat renunganku dan sidang pembaca sekalian.
  1. Allah swt tidak memandang paras rupa, darjat dan latar belakang seseorang hambaNya, tetapi Allah swt menilai pada tahap ketaqwaan seseorang itu terhadap Penciptanya. Mungkin mereka pernah terkapai-kapai di dalam kegelapan, tetapi sekiranya mereka telah menemui pintu cahaya daripada Robbul Jalil, mungkin pengakhiran mereka lebih baik daripada kita.
  2. Manusia akan sesat tanpa iman di hati. Menurut Ust Abd Latif mereka pernah menerima seorang pelatih yang merupakan doktor gigi. Tetapi terlibat dengan ketagihan dadah setelah mengalami masalah rumah tangga. Biar setinggi mana ilmu yang kita capai, tidak akan mampu menangkis godaan syaitan jika tidak dibenteng dengan kepaduan iman.
  3. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Kelemahan orang berilmu ialah apabila tidak mengamalkan apa yang dipelajari. Itulah lubang untuk syaitan mudah menyesatkan manusia yang berilmu. Walaupun ilmu agama penuh di dada, namun pada hakikat dirinya lemah kerana ia tidak pernah diamalkan justeru memudahkan hawa nafsu dan syaitan untuk melalaikannya.
  4. Besarnya pengaruh dadah ke atas manusia, biarpun baru sekali mencubanya. Menurut Ust Abd Latif, seorang pelatih memberitahunya keseronokan mengambil dadah melebihi keseronokan melakukan seks. Na'uzubillahi min zaalik.
  5. Wajib ke atas sekalian umat untuk membantu dan memberi sokongan kepada golongan ini kerana majoriti daripada pelatih tidak mampu lari daripada tarikan dadah jika mereka dibiarkan hidup sendirian.

Apa yang mampu di ucapkan hanyalah doa kepada Allah swt, mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk tinggalkan sejarah hitam mereka dan membuka pintu hidayah yang akan mengubah nasib mereka kelak. Ia adalah sebuah pengalaman yang amat berharga buat diriku yang sering lalai dengan tanggungjawab terhadap Pencipnya.

Orang yang bertaubat kepada Allah swt setelah melalukan kekhilafan adalah lebih mulia daripada orang yang akan berlapang dada setelah melakukan kebaikan. 

Orang yang bertaubat akan sentiasa mengenangkan dosa-dosanya, lalu semakin tunduk bermunajat kepada Allah swt.

Tetapi orang yang berlapang dada akan lebih selesa dan tersenyum mengenangkan amalan kebaikannya sehingga boleh melalaikan.

Wallahu Ta'ala A'lam 

Ya Allah aku berkongsi untuk mengingatkanku di kala diriku lupa, aku menulis untuk menasihatkan saudaraku yang sedang leka. Mohon dijauhkan diriku daripada sifat riyak dan takabbur kerana itu bukan sifat yang layak bagiku.


 

Thursday, August 18, 2011

Rindukan Summer Camp



Alhamdulillah, baru-baru ini telah selesai sebuah program Ihya' Ramadhan peringkat Negeri Pulau Pinang selama tiga hari dua malam yang melibatkan seramai 79 orang peserta lelaki pelajar-pelajar sekolah menengah. Sengaja ingin ku catatkan di sini kerana ia adalah memori indah untuk ku kenang dimasa hadapan. 

Setelah diberikan tanggungjawab sebagai 'Kem Kom' semasa mesyuarat yang lalu, aku terasa sangat kerdil sekali memandangkan jurulatih-jurulatih yang lain adalah ustaz-ustaz yang lebih berpengalaman, dan berilmu dariku. Namun, sokongan daripada mereka membuatkan aku lebih kuat dan doaku pada Allah agar hati ini ikhlas berprogram demi mencari redha daripadaNya.

Aku sangat bercita-cita untuk menggerakkan kem ini seolah-olah seperti program Summer Camp anjuran Akrab Management. Aku pernah menjadi peserta kem ini semasa di Tahun 5 dan Tingkatan 1. Alhamdulillah pernah juga kembali ke kem tersebut sebagai 'abg fasi'  sebanyak dua kali. Betapa kem ini telah berjaya membuka ruang-ruang hatiku untuk lebih mengenali siapa Tuhanku walaupun baru berusia 11 tahun ketika itu. Berdasarkan pemerhatian, kekuatan kem ini adalah pada pengisian zikir. Setiap masa akan diisi dengan zikir. Suara merdu Ustaz Hassan Ismail di tambah dengan susunan ayatnya yang menusuk jauh ke dalam hati pasti mencairkan hati-hati yang keras selama ini.

Dengan izin Allah, cita-cita ini Allah permudahkan. Semua program berjalan dengan baik. Solat berjemaah, Tadarus al-Quran, Zikrullah, Solat Sunat Dhuha, Solat Sunat Tarawih, dan Qiyamullail. Setiap perancangan dapat dilaksanakan dan semua peserta mengikutinya dengan baik. Ini tandanya Allah bersama kita, bisik hati kecilku. Setiap permulaan dan pengakhiran sesuatu slot, kami akan berzikir. Letakkan tangan di atas bahu kawan sebelah atau kadang-kadang genggam sahaja bagi mengeratkan hubungan sesama peserta.

Di awal program, ada juga segelintir peserta yang berat mulut untuk berzikir. Berzikir ala kadar saja. Tetapi setelah diajak dan dengan keberkatan alunan zikir kawan-kawan yang lain, Alhamdulillah akhirnya semua berzikir. Mudah-mudahan ianya lahir daripada hati yang ikhlas.

Apa yang penting, walaupun aku sebagai fasi, sebenarnya aku belajar banyak perkara sepanjang program tersebut. Tertarik hati ini apabila melihat Ustaz Fathim Mohsin semasa mengendalikan slot Qiyamullail dan Ustaz Khairul Fitri semasa mengendalikan slot muhasabah. Menyedarkan diri ini untuk kembali terjaga demi mencari jalan menuju Ilahi.

Semoga program ini diredhai oleh Allah swt. Semoga program ini mampu menyedarkan hati-hati peserta yang sedang lena dan lalai. Semoga kata-kata penyesalan yang mereka zahirkan semasa slot refleksi akan memberi impak untuk mereka terus mencari redha Ilahi. Teringat seorang peserta daripada tingkatan enam rendah. Secara terang-terang semasa sesi refleksi, dengan lelehan air mata beliau akui sebelum ini apabila ibunya suruh solat, beliau ambil wuduk dan masuk bilik tidur atas katil. Tetapi beliau berjanji, perkara itu tidak akan berlaku lagi. Semoga Allah swt membantu dirinya untuk mengotakan janjinya.

Aku mengajar untukku lebih belajar, Aku mengingatkan untukku lebih beringat.
Wallahua'lam

Friday, July 29, 2011

Mari Menyahut Seruan Ramadhan




Dengan nama Allah swt, bingkisan ini dimulakan. Terasa begitu cepat bumi ini berputar walaupun perjalanan masanya tidak pernah berubah walaupun sesaat. Semoga Allah mengizinkan kita sempat untuk bersama dengan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Bagi insan yang telah berumur 30 tahun, mungkin ibadat puasa pada kali ini adalah bagi yang ke-20 untuknya. Atau mereka yang berumur 20 tahun, ini mungkin kali yang ke-10. 

Namun, sejauh mana Ramadhan tersebut telah memberikan impak positif kepada dirinya sehingga mampu menggapai janji-janji Allah swt buat hambaNya yang bersabar. Atau mungkin ianya telah berlalu tanpa sebarang kesan yang boleh mengangkat darjat dirinya di sisi Allah 'Azza Wa Jall. Jika demikian, ia adalah suatu pembaziran masa yang amat merugikan. Seperti mana yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw,
"Dua nikmat yang manusia banyak tertipu dan rugi, iaitu kesihatan dan waktu lapang"                                                                               (Soheh Bukhari)
Secara umumnya, begitulah sifat sebahagian besar insan-insan di atas muka bumi ini. Perasaan terlalu cintakan dunia sehingga terlalu jauh daripada akhirat. Justeru, penulis ingin mengingatkan diri sendiri terutamanya, dan buat semua yang membaca bingkisan ini agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk ke sekian kalinya. Peluang untuk merebut kebesaran Rahmat dan Maghfirah Allah swt sepanjang sebulan di dalam bulan Ramadhan. Suatu tempoh masa untuk sesi penyucian roh dan sesi mengemaskini sistem kehidupan agar lebih selari dengan fitrah azali, bertepatan dengan buku manual kehidupan, al-Quranul Karim.

Umum mengetahui betapa tingginya kemuliaan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain seperti yang telah disampaikan melalui ceramah dan artikel. Ironisnya, ia dipandang enteng oleh sebahagian besar insan di atas muka bumi ini. Sehingga membiarkan ia berlalu pergi tanpa digarap dengan penuh iltizam.

Sebelum detik-detik Ramadhan itu menjelang tiba, alangkah beruntungnya insan-insan yang gigih mendisiplinkan diri dengan beberapa persediaan rapi. Memastikan kita menyahut sapaan Ramadhan dengan persiapan yang penuh gilang-gemilang. Di antaranya ialah:

1. Kenali Ramadhan untuk dicintai. Benarlah pesanan orang-orang tua, 'tak kenal maka tak cinta'. Luangkanlah sedikit masa, cuba kenali Ramadhan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad saw ini. Di zaman teknologi ini, semua maklumat di hujung jari anda. Taip sahaja Ramadhan, pasti terhidang betapa enaknya beribadat di dalam bulan tersebut. Pasti hati-hati akan terpaut untuk mengejarnya. Jantung berdegup kencang bagaikan tidak sabar menanti ketibaan 1 Ramadhan.


2. Bermuhasabah diri dengan mutu ibadat kita sepanjang Ramadhan yang telah berlalu. Cuba kita renungkan kembali amal ibadat kita sepanjang kita melalui bulan Ramadhan sebelum ini. Apakah yang perlu diteruskan dan apakah yang perlu dipertingkatkan. Selain Allah swt, pastinya kita lebih mengenali siapa diri kita. Maka perbaiki mutu ibadat puasa kita pada kali ini. Tidak berpuasa semata-mata menahan lapar dan dahaga, sebaliknya berpuasa seluruh anggota badan luar dan dalam daripada melakukan kemaksiatan terhadap Allah swt.


3. Perteguhkan yang fardhu, perbanyakkan yang sunat. Bukankah di dalam suatu hadis Rasulullah saw telah menyatakan. kelebihan ganjaran ibadat akan digandakan pada bulan Ramadhan. Ibadat sunat akan dikira seperti ibadat wajib, manakala ibadat wajib akan digandakan kepada 70. Suatu tawaran 'Mega Sale' buat ahli-ahli ibadat yang sentiasa menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan menahan diri daripada sifat malas beribadat kepada Allah swt.


4. Berdampinglah dengan al-Quran. Bukankah ia diturunkan pada bulan Ramadhan? Lihat sahaja teladan daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Baginda mengulangi al-Quran dihadapan Jibril as sebanyak dua kali pada bulan Ramadhan. Membuktikan keagungan bertadarus dan bertadabbur dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan.


5. Bersedialah untuk 10 malam yang terakhir. Jika diperhatikan, masjid dan surau penuh sesak pada awal Ramadhan. Tetapi semakin lesu bila menghampiri penghujungnya. Mungkin ramai yang telah salah percaturan, atau mungkin kerana kejahilan ilmu, atau mungkin telah kalah sebelum berjuang. Sedarilah kemuncak ketinggian rahmat Allah di dalam bulan Ramadhan adalah pada malam Lailatul Qadar. Justeru, semua persiapan di atas adalah bagi menyahut seruan Allah swt pada malam tersebut. Rasulullah saw juga ada mengingatkan agar mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir. Dengan persiapan rapi sepanjang 20 hari sebelumnya, pasti kita akan lebih mudah mengharungi pada 10 hari yang berikutnya.


6. Anggaplah Ramadhan ini adalah yang terakhir. Begitulah caranya para sahabat dapat mencapai kenikmatan di dalam beribadat. Melakukan setiap perkara dengan sebaik mungkin dengan beranggapan ia adalah peluang yang terakhir. Secara tidak sedar, ia merupakan suatu motivasi untuk menggerakkan roh daripada terlena dibuai mimpi keindahan dunia yang fana ini. Dengan itu, setiap saat yang berlalu akan diisi dengan amal ibadat yang terbaik tanpa diabaikan begitu sahaja.


Diharapkan semua persediaan ini akan menguatkan kita semasa menyahut seruan Ramadhan tidak lama lagi. Bagi memastikan iman kita tidak goyah sepanjang berjuang melawan godaan hawa nafsu nanti. Seterusnya membawa kita ke arah menggapai janji Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang bertaqwa. Itulah perjuangan yang sebenar bagi menjamin kesenangan hidup di alam baqa'. 


Ya Allah, Semoga diri ini lebih beringat, ketika sedang mengingatkan...
Wallahu a'lam



Thursday, July 21, 2011

Selamat Hari Lahir




Setinggi-tinggi rasa syukurku kehadrat Allah swt di atas peluang untuk merasai kehidupan di alam dunia ini walaupun ia hanyalah sementara berbanding kehidupan di alam baqa’. ‘Happy Birthday, Selamat Hari Ulang Tahun’ mungkin itulah ucapan selamat kita kepada rakan-rakan apabila tiba detik ulangtahun hari kelahirannya.  Lebih mengembirakan apabila rakan-rakan menghadiahkan sesuatu sebagai tanda ucapan selamat apatah lagi jika diserikan lagi dengan sebuah majlis keraian di tempat istimewa dengan hidangan yang enak. Hari yang disambut setahun sekali itu pastinya sangat mengembirakan, bahkan sering ditunggu-tunggu dengan penuh kesabaran.

Berbeza dengan Rasulullah saw dan para sahabat yang sentiasa memenuhi harinya dengan rasa takut dan gerun kepada Allah swt seakan-akan tiada hari esok buat mereka. Berlalunya usia mereka dengan iringan perasaan bimbang dan khuatir sekiranya setiap detik mereka bernafas, mereka terlalai daripada mengingati Allah ‘Azza Wa Jall. Atau tenaga  yang dicurahkan setiap hari, mereka gunakan untuk kepentingan diri sehingga membelakangkan syiar Islam yang perlu ditegakkan.

Jurang perbezaan yang sangat besar jika dibandingkan akhlak umat dahulu dengan sekarang. Bukankah semakin bertambah usia, maka semakin hampir detik ajalmu? Itulah persoalan yang sepatutnya difikirkan. Tidak perlu dibanggakan dengan jumlah batang lilin di atas kek itu, sedangkan amal tidak ke mana. Jangan terlalu gembira pada hari itu, kerana ia petanda perhitungan ke atas usiamu akan semakin bertambah.

Kek Birthday

Manusia sering berkira-kira dengan usia di dunia ini, sedangkan ia hanyalah suatu garisan pendek yang ada titik hujungnya. Tetapi terlupa untuk berkira-kira dengan usia di alam akhirat yang baqa’ ibarat suatu garisan panjang yang tiada penghujungnya. Selamatlah insan-insan yang memelihara garisan pendek kerana mereka akan bahagia semasa di garisan panjang nanti.


“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah al-Ankabuut:64)

Begitulah besarnya fitnah dunia sehingga membutakan  mata yang sedang melihat, memekakkan telinga yang boleh mendengar dan melalaikan akal yang mempu berfikir dengan waras. Alangkah mulianya insan yang singkat umurnya, tetapi terlalu besar jiwanya. Lihat sahaja pada al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin yang hanya sempat merasai alam dunia selama 43 tahun. Tetapi hasil gerakan dan usaha murninya, memberi impak ke seluruh pelusuk dunia sehingga kini.

Hari ini, mengikut kiraan kalendar masihi, usiaku bertambah setahun lagi. Maka bingkisan ini adalah untuk tatapan diriku sendiri. Buat renungan muhasabahku terhadap Tuhanku. Semoga usiaku dihindari sebarang fitnah dunia. Ia berlalu seiring dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw. Jauh di lubuk hatiku, aku berdoa agar Allah swt mengizinkan roh dan jasadku untuk diabadikan untuk Islam. Dengan itu, hamba yang kerdil ini akan sentiasa mengharapkan perencanaan yang terbaik daripadaMu Ya Allah. Moga ditunjuki jalan yang dilalui oleh para Nabi, Siddiqiin, Syuhada’ dan Solihiin.

Demi menggapai redhaMu Ya Allah…


Wednesday, July 20, 2011

Bersedia menjadi kepompong, baru lahir si Rama-rama..

Sedar mahupun tidak, hari-hari di bulan Syaaban kian berlalu pergi dan mengucapkan ahlan wasahlan kepada Ramadhan al-Mubarak yang bakal menjelang tiba. Terasa begitu cepat masa berlalu. Seolah-olah baru semalam kita merasai Ramadhan yang lepas. Tetapi kini, kita akan lalui lagi buat kesekian kalinya jika kita dipilih oleh Allah swt.

Seharusnya tidak lekang di bibir kita untuk berdoa semoga kita diberi kesempatan melalui Ramadhan yang akan datang kerana dalam masa sesaat pun kita tidak dapat menjamin roh masih lekat dijasad kita. Justeru, seandainya kita dipilih oleh Allah swt untuk melalui detik-detik Ramadhan pada tahun ini, tidak dapat tidak kita mesti bersyukur kepada Allah Azza Wa Jall. Kerana di sana terdapat kelebihan rahmat Allah swt yang mencurah-curah bagaikan hujan lebat yang membasahi bumi.

Sengaja Allah swt menciptakan Ramadhan al-Kareem buat hamba-hambaNya sebulan daripada setiap tahun yang berlalu. Ia bagaikan suatu tempoh untuk manusia kembali kepada fitrah mengenang kembali perjanjian lafaz taat setia yang termetrai di antara roh dengan Allah swt. Supaya setiap manusia yang tersasar daripada jalan syariat Islam, akan kembali menemui arah tujuannya yang sebenar. Sedangkan kereta pun perlu di servis setelah cukup tempoh masa dan ketikanya demi menjaga kualiti agar ia dapat berfungsi dengan baik.

Setelah dikaji dan diamati, rupa-rupanya di sebalik kewajipan menunaikan ibadah puasa sebulan di dalam bulan Ramadhan, terdapat 1001 hikmah yang boleh dirungkaikan. Sama ada berkaitan dengan peningkatan amal ibadah, kesihatan jasmani, ketenangan jiwa dan sebagainya. Apa yang pasti, Allah swt telah menjanjikan rahmatNya yang tidak terbatas untuk hamba-hambaNya yang tekun dan sabar dalam menunaikan ibadah pada bulan tersebut.

Justeru, sebagai hamba Allah yang taat dan patuh kepada syariatNya, bulan Ramadhan adalah masa yang amat dinanti-nantikan. Segala rahmat dan kelebihan yang terisi di dalamnya akan digarap sebanyak mungkin buat bekalan di akhirat kelak. Bagi orang-orang yang beriman, inilah masa untuk mereka melepaskan dunia seketika dan mengejar akhirat sejauh yang mungkin.

Teringat sebuah cerita yang disampaikan oleh Cikgu Saadan semasa halaqat baru-baru ini, bagaimana Imam Hassan al-Banna dan sahabat jamaahnya akan saling mengucapkan selamat berpisah tatkala menjelang tibanya bulan Ramadhan. Kerana pada masa itulah, mereka akan bermujahadah siang dan malam untuk menuntut cinta Ilahi dan melepaskan sementara hal-hal duniawi.

Ayuhlah! Kita kejar perniagaan ini. Keuntungannya  beratus-ratus lipat kali ganda daripada perniagaan pada hari-hari biasa. Ibadah wajib digandakan sebanyak mungkin, ibadah sunat diganjari dengan pahala ibadah wajib, syaitan iblis dibelenggu rantai neraka, rahmat Allah melimpah ruah sehingga dibuka pintu-pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup semua pintu neraka, bertambahnya nama-nama penghuni syurga dan terpadamnya nama-nama penghuni neraka, dosa yang menggunung akan diampunkan oleh Allah Taala dan amalan pada malam Lailatul Qadar menyamai amalan seribu bulan.

Alangkah beruntungnya golongan yang menyahut cabaran ini, seolah-olah sepanjang bulan Ramadhan mereka bagaikan kepompong yang terpisah daripada dunia luar. Mengabdikan diri kepada Rabbul Jalil siang dan malam tanpa henti demi mengejar redha Ilahi. Setelah berakhirnya tarbiyah Ramadhan, mereka lahir sebagai seorang insan suci yang luhur dan murni, bagaikan si Rama-rama cantik yang baru keluar dari kepompongnya.


Dari kepompong
Lahirlah si Rama-rama



Wahai jiwaku yang di dalam genggaman Ilahi,
Bangunlah dari tidur mimpi,
Menyahut seruah Ilahi,
Lantas berdiri menyucikan diri,
Mengabdikan diri, dengan setulus hati.

Di sana punya Jannatul Firdausi,
Buat kamu yang menunaikan janji,
Redha Allah terus dicari,
Agar kelak hidupmu tidak dikesali.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Kareem.. 
Semoga kita menjadi insan pilihan Allah swt

Thursday, July 14, 2011

Ku berkongsi untuk masaku lebih terisi



Sekadar ingin berkongsi sebuah bingkisan hati sempena ceramah motivasi di sebuah sekolah di Pulau Pinang bulan lepas. Tajuk yang diberi "Sayangi Ibu Bapa, Hormati Guru". Dua isu besar yang perlu dikupas pada satu masa. Walaupun agak rumit untuk memadatkan isi kandungannya, tetapi aku cuba sebaik mungkin. Entah bagaimana 'feedback' yang diterima, namun apa yang diharapkan ialah usaha murni ini akan diterima oleh Allah swt sebagai suatu usaha jihad ku untuk membawa adik-adik ini mengenal Allah tuhan mereka, Muhammad saw pemimpin agong mereka, Ibu dan ayah dua insan mulia dalam kehidupan mereka, Guru pendidik dan pembimbing alam dunia dan akhirat mereka. 



Ku berkongsi untuk masaku lebih terisi, ku mengajar untukku lebih belajar. Keranaku cuma insan biasa yang mengharapkan redha Ilahi.. Semoga diberi hati yang ikhlas, kekuatan yang padu, keazaman yang istiqamah... InsyaAllah

Ayuhlah Putera Puteriku
Selagi jasadmu masih bernyawa,
Selagi itulah pintu taubat masih terbuka,
Langkahkan kaki mencari Rabbul Jalil,
Tekadkan semangat,
Jenuhkan usaha,
Dalam menggapai redha Ilahi.
Kenanglah jasa Ibu dan Ayahmu
Kerana mereka, kini kamu membesar dewasa,
Bukan harta yang mereka minta,
Kebahagiaanmu  itulah sahaja
Jadilah anak soleh dan solehah
Mendoakan mereka di alam sana.
Berusahalah mendalami ilmu berguna
Untuk kejayaan di dunia  dan akhirat
Pengorbanan guru jangan kau lupa
Di situlah punca mendapat berkatnya
Semoga kalian berjaya, di dunia dan akhirat
InsyaAllah                              
- Ust Shukri (18/6/11 @1.15am)

Thursday, July 7, 2011

Bersihkan hubungan itu, Akan sucilah ikatanmu..

"Manis terasa bagi dua insan yang saling merindui walau sekadar mendengar alunan suara. Alangkah manisnya dapat bertemu, menatap wajahnya insan yang tersayang. Terubat segala rindu dendam yang mencengkam jiwa."

Mungkin begitulah perasaan sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta. Bagai tidak mahu berpisah walau sesaat. Kehangatan kian membara apabila masing-masing berjauhan dek kerana ikatan sah yang belum terbina. Situasi ini pasti berlaku kepada kebanyakan remaja hari ini yang begitu asyik dengan dunia percintaan yang dianggap lumrah kehidupan. Rata-rata mereka merasakan perhubungan itu adalah suci atas nama sebuah ikatan percintaan.

Membelakangi batasan syariat dan agama, menjadikan kebebasan mutlak sebagai pegangan utama perhubungan tersebut. Merasakan ia adalah hak peribadi sebagai seorang yang bergelar manusia, sejajar dengan pembawakan masyarakat barat. Mungkin itulah cara hidup remaja berfikiran terbuka seiring dengan kemajuan semasa. Seawal usia belasan tahun, bibit percintaan mula dipraktikkan kerana tidak mahu ketinggalan dengan arus kemodenan pemikiran dan cara hidup dunia masa kini.

Lebih membingungkan apabila pasangan ini menganggap ikatan itu adalah suci atas nama sebuah percintaan. Apatah lagi ia adalah ikatan pertunangan. Tidak lama lagi mereka akan berkahwin. Kekebalan pada pasangan remaja pula apabila direstui oleh ibu bapa masing-masing dengan syarat pelajaran tidak ditinggalkan. Lupakah mereka dengan Islam yang mereka anuti? Sudah tidak relevankah pantang larang adat resam budaya nenek moyang mereka?

Apa yang pasti, mereka telah membuka ruang menuju ke lembah kemaksiatan. Daripada Ukbah bin Amir menyebut bahawa Nabi s.a.w. bersabda: 
“Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan."  (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)


Hari ini, hadis ini tidak mahu diamalkan. Mereka menganggap mereka mampu menjaga batas-batas pergaulan. Lagipun mereka berjumpa di tempat awam, berbincang hal pelajaran, mahu membincangkan hal perkahwinan yang masih tertangguh, ibu dan ayah tahu mereka berjumpa. Pelbagai alasan dilontarkan demi menghalalkan perhubungan itu. Beranikah kita menyatakan hadis Rasulullah s.a.w tersebut telah lapuk dan ketinggalan zaman. Atau ada pasangan tertentu yang terkecuali daripada amaran Rasulullah itu.



Sedarilah bahawa sesungguhnya percintaan itu suatu yang amat suci jika selaras dengan ajaran al-Quran dan menepati sunnah Rasulullah s.a.w. Mengapa menghalalkan sebuah perhubungan yang pada pandangan Islam belum pun lagi dibina. Atau perhubungan yang baru sahaja bertapak dengan ikatan pertunangan. Hakikatnya ikatan pertunangan bukanlah suatu lesen untuk terlerainya batas-batas pergaulan antara seorang lelaki dan perempuan.

Kain putih yang bersih mengapa dikotorkan sebelum ianya dilukis? Bukankah itu tindakan yang akan merugikan. Fahamilah larangan hadis tersebut dengan iman dan akalmu. Bukalah mata hatimu dan pandanglah 1001 hikmah disebaliknya. Lebih baik mencegah awal daripada berpenat lelah untuk mencari penawar dikemudian hari.

Sanggupkah kita melihat anak-anak yang lahir tanpa ayah kandung yang sah? Relakah kita membiarkan anak gadis kita bergelumang dengan kancah maksiat? Ayuh saudara, jangan dirosakkan ikatan murni itu. Halalkan ia dengan mahligai perkahwinan yang sah. Kelak, redha Allah akan menanti. Semoga Allah swt menyelamatkan kita, ahli keluarga kita daripada lubang-lubang maksiat yang akan merosakkan jiwa-jiwa kita sebagai hamba Allah swt.

Wallahua'alam..

Surah Al-Furqan: 74

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا 
.. "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa."