Pages

Monday, November 1, 2010

Ada apa dengan 30.10.10?

Bagi sesiapa sahaja yang membaca tajuk ini, pasti menjadi tanda tanya kepada kalian tentang apa yang berlaku pada hari tersebut. Pada diri kalian mungkin tarikh ini tidak membawa sebarang makna istimewa. Tetapi bagi diri penulis, ia merupakan detik manis yang pastinya menjadi memori indah di dalam ingatan.

Besarnya pengorbanan sayang…

Bagi pasangan PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) seperti aku dan isteriku, hujung minggu merupakan hari bagi kami bertemu. Semenjak isteriku mengandung, hanya aku yang ‘travel’ ke sana. Tetapi hujung minggu ini, isteriku sanggup untuk menaiki bas datang ke sini bagi menemaniku untuk menghadiri ‘Annual Dinner’ sekolah. Suatu pengorbanan yang menghibakan hati sang suami.

Justeru, menjadi kewajipanku sebagai suami untuk memberi layanan teristimewa buat si Permaisuri. Hydro Hotel Penang, Miami Beach, Batu Feringghi menjadi hotel pilihanku sebagai tempat si Permaisuri beradu. Kedudukannya yang berhadapan dengan pemandangan laut pasti menenangkan jiwa sesiapa sahaja yang berada di situ. Hanya sekadar ini sahaja yang termampu abang sediakan untuk sayang. Semoga ketenangan di sini dapat mengubati keletihan dan kepenatan sayang.

Hydro Hotel Penang


keadaan di dalam bilik


 Pemandangan dari bilik


 Miami Beach yang bertentangan dengan hotel


Batu Feringghi (5 minit dari hotel)

'Arabian Night'

Pada malam tersebut, kami pergi ke Tarbush Restaurant di Batu Feringghi untuk menghadiri ‘Annual Dinner’ guru-guru dan staf sekolahku. Perjalanan yang hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit dari hotel. Dengan bertemakan ‘Arabian Night’ semua tetamu hadir dengan pakaian khas masing-masing. Aku dan isteri juga tidak terkecuali walaupun hanya sekadar cukup-cukup syarat.

Alhamdulillah, apa yang kami rancangkan dapat dilaksanakan pada malam tersebut. Rata-rata tetamu yang hadir berpuas hati dengan makanan dan tempat yang dipilih. Cukup untuk membuatkan penat lelah barisan penganjur selama ini menjadi suatu yang bermakna dan berbaloi.

Hampir semua yang hadir pulang tanpa tangan kosong. Sekurang-kurangnya ‘cream caramel’ boleh memaniskan mulut di rumah masing-masing. Bagi yang bernasib baik, cabutan bertuah membuatkan tangan yang kosong menjadi terisi. Aku dikira insan yang agak bertuah juga kerana nomborku menjadi pilihan Mr. Tan Lock Yee. Thank you Mr. Tan! Apa yang lebih memeranjatkan, aku dipilih sebagai pemenang ‘Pertandingan Rekacipta Blog’, pertandingan yang dianjurkan Mr. Foo bagi membiasakan guru-guru sekolahku dengan dunia blog. Dengan niat sekadar ingin belajar, maka terbinalah blog ‘Sebuah Perkongsian’ ini. Siapa sangka hadiah tajaan Tuan Pengetua, Mr. Gan Hua Beng ini agak lumayan. Percutian 3 hari 2 malam di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort bernilai lebih RM1k. Ketawa kecil aku apabila memikirkan kembali. Semuanya adalah rezeki daripada Allah swt. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Mr. Gan, selaku Maharaja pada malam tersebut.

Di penghujung majlis, diumumkan anugerah ‘King & Queen’. Ketua Pengarah projek, saudara Hafandi pastinya tersenyum lebar kerana dipilih sebagai King. Manakala Kak Aida sebagai Queen. Tahniah kepada semua. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian kerana memberikan sokongan dan menjayakan majlis tersebut serta memberikan kerjasama sepanjang tahun 2010. Mohon maaf kerana diri ini sering merungsingkan kalian apabila datang musim bayar yuran ahli kelab SRO. 


Dari jauh dah boleh nampak

 antara tetamu yang hadir


The King & The Queen


senyum gumbira


 bersama Pengurus Tarbush Restaurant, En. Zahrin (x-smkak)


 suasana di dalam Tarbush Restaurant


Hj. Shukri & Hjh. Nor Rabiatun, InsyaAllah.. (",)

Wednesday, October 27, 2010

Nikmatnya Jika Bersahabat

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

"Apakah doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku akan dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hanya tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali. Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?". Tanya Ali dalam keadaan terkejut.
“Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan.”
“InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat,” kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
“Bagaimana dengan anakmu?” anya Ali.
“Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya Cuma bertambah baik sedikit sahaja.”
“Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau…...”
“Kenapa dengan aku?”
“Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab.” Ahmad tersenyum…
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, “Aku hairan, doamu tidak mustajab.”
“Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah.”
“Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau.”
“Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.
(Cerita dipetik daripada Majalah Solusi Isu 22...)

Cerita ini sekadar ingin membuka minda dan menilai iman di dada kita khususnya bagi diriku sendiri. Boleh juga jika hendak dikaitkan dengan prinsip hidup seorang penulis buku dan blog yang terkenal iaitu saudara Hasrizal atau lebih terkenal dengan Saiful Islam. Berprinsipkan “Erti Hidup Pada Memberi”, membuatkan aku kagum dengannya. Suatu prinsip yang singkat pada ungkapan tetapi sebenarnya mempunyai maksud yang begitu luas.

Bukankah Allah telah menjanjikan syurga bagi seorang sahabat yang mendoakan sahabatnya secara diam-diam. Begitulah indahnya apabila dua orang yang bersahabat kerana Allah. Matlamat utama mereka hanyalah keredhaan daripada Allah swt.

Hidup ini perlu banyak memberi kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Perlu diingat, tidak semestinya pemberian itu hanya dari sudut kebendaan semata-mata. Sebaliknya doa juga adalah pemberian yang paling berharga, lebih-lebih lagi doa yang tidak diketahui oleh penerimanya.

Jangan sekali-kali kita lupa dan lalai dengan nikmat yang dikecapi selama ini. Kerana mungkin apa yang kita miliki sekarang adalah berkat doa daripada sahabat kita kepada kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, berkongsilah apa yang kita miliki, dan jangan menghitung berapa banyak yang kita dapat, tetapi hitunglah berapa banyak yang telah kita beri.
Tiba-tiba sahaja teringat sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarhamhu Ustaz Asri Rabbani. “Mana milik kita, Tidak ada milik kita, Semua yang ada, Allah yang punya.”

Biarlah kita berlapar, asalkan dirinya kenyang.
Biarlah kita sempit, asalkan dirinya selesa.
Biarlah kita susah sedikit, tetapi menyenangkan hidupnya.
Biarlah… kerana Allah akan menganugerahkan ganjarannya.
InsyaAllah (“,)


Alangkah indahnya hidup bersahabat,
Apabila susah, tangannya dihulurkan
Apabila gelisah, nasihatnya mendamaikan
Apabila menangis, pujukannya menenangkan
Apabila keseorangan, dia sanggup menemankan
Apabila tersasar, pantas dia meluruskan
Apabila memerlukan, dia datang tanpa diarahkan
Apabila didunia, dia sebagai teman
Di akhirat kelak, dia sebagai jiran…
(syoran_84, 2005)



Tuesday, October 26, 2010

Di keheningan malam...

Dalam keheningan malam, selepas baru pulang daripada halaqat bersama teman-teman, hati bagaikan meronta untuk meluahkan sesuatu. Walaupun sebenarnya diri sendiri pun tidak begitu pasti apa sebenarnya yang ingin diluahkan. Entah mengapa hati ini terasa sebak seperti sedang melayari perasaan sedih dan pilu. Sedihkan tentang perkara apa? Apakah puncanya? Persoalan itu yang membingungkan aku.

Telingaku bagaikan terngiang-ngiang lagu nasyid “Bila Waktu Telah Berakhir” yang dinyanyikan oleh Opick, seorang penasyid daripada negara jiran yang aku gemari. Lantas, aku segera memasangnya dan mengulangi lagu yang sama berulang-ulang kali. Lirik yang begitu menyentuh hati sesiapa sahaja yang menghayatinya. Tiba-tiba pipi yang kering terasa basah. Jarang sekali air jernih ini mengalir keluar. Dengan perasaan sesal dan insaf dengan kekhilafan diri, semoga air inilah yang akan menyejukkan aku  disaat semua manusia di dalam kepanasan sementara menunggu perhitungan diri di hadapan Robbul Jalil kelak.

Allahumma Ya Ghoffar, Ighfirli zunuubi wa khotii ati. Innaka antal ghofuurur rahiim..


Lagu : Bila Waktu Telah Berakhir
Penyanyi : Opick

Bagaimana kau merasa bangga
Akan dunia yang sementara
Bagaimanakah bila semua
Hilang dan pergi meninggalkan dirimu

Bagaimanakah bila saatnya
Waktu terhenti tak kau sedari
Masihkah ada jalan bagimu
Untuk kembali mengulangkan masa lalu

Dunia dipenuhi dengan hiasan
Semua dan segala yang ada
Akan kembali padaNya

Bila waktu telah memanggil
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tingallah sepi


Monday, October 25, 2010

Di sini bermula...


Hari ini genap umur bayi di dalam kandungan isteriku 16 minggu 5 hari. Alhamdulillah…. Syukur yang tidak terhingga kepadaMu ya Rabb. Anugerah yang tidak ternilai yang pernah aku dapat selama aku hidup di atas muka bumi ini Ya Allah. Berdasarkan respon Dr Ishak hari itu, perkembangan bayi adalah normal dan baik. Nasihat beliau agar isteriku banyakkan makan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Lebih baik jika ditambah dengan vitamin untuk menguatkan rahim dan membantu pembesaran bayi supaya kekal sihat. Cuma masalahnya, isteri kesayanganku ini tidak berminat dengan susu. Apa boleh buat, benda yang tidak suka tidak boleh dipaksa-paksa. Mungkin akan diusahakan dengan cara lain.

Sebelum pulang, Doktor sempat berkata “banyakkan berdoa, insyaAllah semuanya akan ok.” Ya, pastinya aku bersetuju. Manakan tidak. Semuanya datang daripadaNya. Apa yang telah berlaku, sedang berlaku, dan akan berlaku berada di dalam pengetahuan Allah. Hinggakan daun kering yang gugur ke bumi pun Allah lebih tahu tempoh dan ketikanya. Ulat yang hidup di dalam batu, bernyawa kerana Allah yang memberikan rezeki. Mana mungkin aku akan mengabaikan daripada mohonan kesejahteraan keluargaku kepadaNya.

Bukankah daripada tiada, Allah satukan dua benih di dalam rahim. Sehingga terbentuk segumpal darah lalu menjadi seketul daging. Kemudian terjadi tulang-belulang yang dibaluti daging sehinggalah terbentuknya anggota badan manusia yang sempurna. Ulama’ bersepakat mengatakan apabila bayi tersebut berumur 40 hari, maka roh akan ditiupkan ke dalam jasad bayi tersebut. Di saat itu, bermulalah sebuah ikatan perjanjian di antara roh dengan Penciptanya. Ingatlah, kelak, Tuhan itulah yang berhak kau sembah. Taatilah segala suruhanNya dan jauhilah semua laranganNya.

Sepertimana Allah nyatakan di dalam Surah al-Mukminuun ayat 12-14 :
12. Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
13. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;
14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Persoalannya, mengapakah apabila lahirnya bayi tersebut ke alam dunia, membesar hingga dewasa, dia tidak kenal siapa Tuhannya. Bukankah Allah itu adalah Tuhan yang sama memetrai perjanjian dengannya semasa di alam rahim? Bukankah Allah itu juga yang memberi jaminan untuk memelihara dirinya semasa keseorangan di alam kegelapan (dalam rahim)?. Cepatnya perjanjian itu diabaikan. Egonya diri sehingga berani membelakangkan Allah dek kerana keangkuhan diri.

Mengapakah ini boleh berlaku? Mungkin kerana ibu bapa bayi tersebut mengabaikan apa yang dinyatakan oleh Baginda SAW bahawa setiap bayi itu bersih ibarat kain putih. Maka ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mencorakkan bayi itu untuk menjadi baik atau pun tidak.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi,”   (Riwayat Bukhari)
anak yang soleh dan solehah tidak pernah lupa dirinya dan siapa Tuhannya..


Berdoalah kepada Allah SWT agar memberikan kita zuriat yang soleh dan solehah.


Anak yang.....
Apabila bercakap, zikir yang diungkap
Apabila berjalan, menjaga pandangan
Apabila keseorangan, Allah sebagi teman
Apabila beramal, melimpah bekal
Apabila bekerja, bukan yang sia-sia
Apabila hilang arah tujuan, Quran dan Sunnah menjadi pedoman
Di sepanjang kehidupan, redha Allah yang selalu diharapkan...






Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan".                                                                    (Surah Ali-Imran : 38)




Wednesday, October 20, 2010

Hanya PadaMu..


Bismillahirrahmanirrahim..

Entah mengapa malam ini, fikiranku ligat memikirkan beberapa perkara. Hatiku gundah bagaikan ada perkara yang tidak kena. Agak lama juga blog ini sunyi daripada coretan pemiliknya. Mungkin ini yang membuatkan hatiku tidak tenang. Setiap hari ada saja topik yang ingin aku kongsikan di dalam blog ini. Cuma masa begitu mencemburuiku. Kadang-kadang telintas di fikiranku, “kenapa nak penat-penat tulis, siapa yang akan membacanya? Yang pastinya, blog ini hanya sebagai tempat untuk aku meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, dan merungkaikan persoalan yang bermain di dalam fikiranku. Agar menjadi sebuah kenangan untukku tatap dikemudian hari.

Perjalanan hidup bagaikan putaran roda yang berpusing. Ada hari hidup kita di atas, ada pula hari yang lain kita di bawah. Ada hari yang urusan kita semuanya mudah, wajah kita pastinya ceria dan penuh bersemangat. Ada hari pula urusan bertimpa-timpa, semuanya bagai tidak menjadi, wajah sugul kerana fikiran yang berserabut. Justeru, apa sikap kita? Apa adab kita sebagai seorang hamba untuk menghadapinya?

Apabila kita mendapat kesenangan dan kejayaan, semestinya kita perlu bersyukur kepada Allah SWT yang memberi anugerah kepada kita. Ia bagaikan suatu hadiah yang tidak ternilai harganya. Agak mengecewakan apabila sebilangan besar daripada manusia lupakan Allah apabila mereka senang. Waktu bila mereka akan ingat Allah? Apabila mereka ditimpa kesusahan dan kesempitan hidup. Ketika itulah, bibir mereka akan menyebut kalimah Allah. Waktu itulah hati mereka merintih dan merayu memerlukan bantuan daripada ‘Azza wa jalla. Apa yang lebih menyedihkan ialah ada juga golongan manusia yang apabila ditimpakan musibah, mereka bukan semakin dekat dengan Allah, tetapi sebaliknya. Bahkan ada juga yang menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan aturan Tuhan. Seolah-olah tuhan tidak berlaku adil kepada mereka. Na’uzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat-sifat derhaka seperti ini.

Sebagai seorang manusia yang bertaraf hamba, selayaknya lafaz syukur tidak pernah lekang daripada bibir kita. Bila senang kita bersyukur, bila susah kita bertambah syukur kerana walaupun kita susah sebenarnya masih ada yang lebih susah daripada kita. Pada ketika itulah, Allah swt sebenarnya membuka peluang untuk menaikkan darjat seseorang hambanya. Siapa yang cekal dan bersabar menghadapi ujian tersebut, maka semakin hampir dirinya dengan Allah.

Semoga hati ini sentiasa bersabar dan bersyukur dengan apa jua ketetapan Allah swt. Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan ujian kepada seseorang hamba melainkan apa yang layak baginya. Semoga aku berjaya melepasi semuanya. Hanya padaMu Ya Rabb aku bersujud, dan padaMu aku memohon pertolongan, tempat aku berserah dan bertawakkal. Hanya padaMu..


Ingatlah Allah SWT telah berfirman :

(ingatlah) Bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang Yang lebih baik daripadanya).
                                                                         (Surah Muhammad : 36)

Wednesday, October 13, 2010

Siapa aku pada Tuhanku..

     Alhamdulillah, aku baru sahaja selesai menonton sebuah filem yang bertajuk 'Sang Murabbi'. Sebuah filem terbitan Indonesia yang menceritakan tentang kisah hidup Allahyarhamhu Ustaz Rahmat Abdullah, seorang da'ie dan guru yang disegani di Indonesia. Terima kasih Cikgu Saadan kerana sudi berkongsi softcopy filem tersebut.

93 minit tidaklah terlalu lama untuk aku menontonnya, tetapi kesannya begitu mendalam sekali. Hinggakan boleh membuatkan hatiku resah menilai kehidupanku yang telah berlalu selama dua abad ini. Dan timbul pula rasa takut apabila jauh memikirkan tentang kehidupan yang bakal mendatang. Apabila menilai kehidupan watak utama dengan diriku sendiri. Membandingkan usaha kerja dakwahnya dengan usaha diriku sendiri.

Keikhlasannya hatinya sebagai 'murabbi' iaitu guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, apatah lagi ingin mengharapkan gaji bulanan yang tinggi telah membuatkan aku berfikir dan bermuhasabah. Timbul rasa malu dalam diriku. Jika dibandingkan dengan kesenangan dan kemudahan yang aku perolehi sebagai guru, pastinya usaha dakwahku akan lebih hebat daripadanya. Sedekahku pasti lebih banyak daripadanya. Perjalananku untuk menyampaikan ilmu pasti lebih jauh kerana mempunyai kereta dibandingkan dengannya yang ke sana dan ke sini hanya dengan berjalan kaki. 

"Umur yang panjang tidak akan menjanjikan kebahagiaan hidupmu. Biarlah umur mu singkat, tetapi namamu diabadikan kerana jasa dan pengorbananmu."
Aku mula berkira-kira dengan umurku. 
Berapa lama masa telah berlalu? 
Bagaimana ia digunakan? 
Ke arah mana ia dihabiskan? 
Adakah ia diredhai oleh Allah swt atau sebaliknya? 
Apakah ia dimanfaatkan atau diabaikan?
Berapa lama baki yang tinggal?
Masih sempat atau tidak?
Apakah ia akan menjadi hujah untukku, atau menjadi hujah ke atasku di akhirat kelak?
semuanya menjadi tanda tanya...

Pokoknya hanya Allah dan diriku sendiri dapat menilai,
Siapa Aku Pada Tuhanku...
Persiapkan diri untuk menghadap Ilahi. 
Bila? suatu hari nanti. 
Yakinlah, kerana itu adalah pasti....







Tuesday, October 5, 2010

Selamat menghadapi PMR 2010

Selamat menempuh peperiksaan PMR kepada semua adik-adik pelajar tingkatan 3 di seluruh Malaysia. 

Kepada anak didik ku, 
doa ustaz sentiasa bersama kalian. 

Buatlah yang terbaik untuk mendapat hasil yang terbaik. 
Namun, perlu diingat, 
ketetapan Allah SWT adalah yang terbaik. 
Justeru, pohonlah doa kepada-Nya
kerana itu adalah langkah yang paling baik
sebagai adab hamba-Nya yang baik.

Kemudian, bertawakkallah kepada Allah SWT,
kerana Allah tahu apa yang terbaik
untuk kamu yang baik..


Ya Allah, 
permudahkanlah urusan anak didikku dalam menjawab peperiksaan PMR.  
Ingatkan apa yang mereka terlupa kerana Engkau Tuhan yang tidak pernah lupa. 
Bantulah mereka dalam menjawab jawapan yang betul, kerana Engkau sebaik-baik Pembantu. 
Berilah kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan, Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi. 
Kurniakan ilmu yang berkat kepada mereka agar hidup mereka tetap di jalanMu seiring dengan cara hidup KekasihMu Muhammad SAW. 
Peliharalah kesihatan mereka dan selamatkan lah mereka di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Penyelamat...
Perkenankanlah doa kami Ya Allah...

Saturday, October 2, 2010

Jika Allah Izinkan...

  
   Pada malam Jumaat yang lepas, rasa teringin nak makan tomyam. Sebuah restoren masakan siam di Bukit Dumbar menjadi pilihanku. Dan seperti biasa aku menghabiskan makan malam ku seorang diri memandangkan masih dalam PJJ (perkahwinan jarak jauh).

     Setelah selesai makan, aku keluar daripada kedai, dan aku terlihat seorang lelaki di dalam kegelapan. Dengan berpakaian ala-ala tabligh tetapi berseluar slack hitam. Entah mengapa aku pergi menyapanya sedangkan agak jarang untuk ku bertegur sapa dengan orang terutamanya dalam keadaan tergesa-gesa untuk pulang.

     Padanya ada sebuah beg galas, sambil memegang sapu tangan biru, dan seutas tasbih. Belum sempat aku membuka bicara, dia dengan pantas mengusap matanya dengan sapu tangan tersebut. Kini, aku dapat lihat wajahnya dengan jelas. Umurnya dalam lingkungan 30an. Katanya,
Tuan, Allah Taala izinkan saya sampai di sini petang tadi. saya datang daripada Jitra. Dengan sebab ada urusan saya perlu datang ke sini. Jika Allah Taala izinkan esok saya perlu ke Pejabat Agama untuk selesaikan masalah tersebut. Tetapi saya telah terputus wang.
     Jika Allah Taala izinkan....  entah mengapa hatiku tesentuh dengan kata-kata pemuda ini. Dia memerlukan sedikit sumbangan wang. Tetapi menyandarkan penyelesaian masalahnya kepada Allah. Jika Allah Taala izinkan... sedangkan sebelum ini, banyak kali aku bertemu dengan insan-insan yang memerlukan sumbangan seperti ini. tetapi tidak pernah menyandarkan kepada Allah swt.

     Terasa hiba sekali dengan ungkapannya. Bagiku maruahnya tidak pernah hina kerana memerlukan sumbangan wang daripada orang lain, tetapi sebaliknya maruahnya diangkat oleh Allah kerana ungkapanya tadi. aku memandang tinggi kepada pemuda tadi. Tanpa bercakap panjang, aku menghulurkan sedikit sumbangan untuknya. walaupun dia tidak mahu terima kerana melebihi apa yang dihajatinya. Tiba-tiba terkeluar dari bibirku "Abang, bila abang berkehendak, abang meminta pertolongan Allah. Bila abang hilang tempat bergantung, abang bertawakkal kepada Allah. Maka ini adalah kurniaan Allah, bukan daripada saya. Dengan harapan, jika selepas ini, saya susah, Allah juga akan membantu saya."

     Selepas bersalaman, aku meminta izin untuk pergi. Aku lihat wajah yang sugul tadi telah ceria. Alhamdulillah. Semoga Allah terima sumbangan itu yang tidak seberapa berbanding Saidina Abu Bakar yang menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. Yang tinggal hanyalah Allah dan Rasul. Bila aku sampai kepada motor, aku lihat dia seperti sedang berdoa. Mungkin kerana bersyukur Allah mendengar rintihan hatinya. Itulah adab seorang hamba, apabila menerima musibah, mereka bersabar, apabila menerima nikmat, mereka bersyukur.

*hanya sekadar ingin berkongsi... Ya Allah jauhkan diriku daripada sifat riak, takabur dan munafik..




Thursday, September 30, 2010

6 hari lagi...

6 hari lagi akan bermulalah peperangan di kalangan pelajar-pelajar Tingkatan Tiga di seluruh negara. Ilmu pengetahuan yang dikutip selama tiga tahun ini akan membantu mereka untuk menang mudah di dalam peperangan tersebut. PMR menjadi penilai terhadap tahap persediaan mereka selama ini. Persediaan yang benar-benar rapi pasti akan membuahkan butiran-butiran kejayaan kepada mereka.

Perlu diingat, walau sehebat mana pun persediaan seseorang itu, jangan dilupa tentang konsep bertawakkal kepada Allah SWT. Iaitu menyerahkan diri kepada Allah SWT setelah usaha dilakukan dengan sebaik-baiknya. Berpeganglah dengan prinsip DUIT iaitu Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal. Dengan itu, anda pasti akan berjaya.

Sebagai seorang pendidik, pastinya saya sentiasa mendoakan anak-anak didik saya agar diberikan kejayaan di dalam peperiksaan tersebut. Kejayaan kalian merupakan hadiah teristimewa buat kami barisan guru-guru. Cuma jauh di sudut hati kecil saya mengatakan, saya akan lebih terharu jika anak didik saya bukan sahaja berjaya di dalam bidang akademik, tetapi mereka berjaya di bentuk menjadi seorang Insan. Insan yang kenal siapa diri mereka dan siapa Tuhan mereka. 

Semoga anda semua berjaya. InsyaAllah... (",)

Permata Generasi Rabbani
Adik Nik Nur Madihah, 20A SPM, akhlak terpuji.

Wednesday, September 29, 2010

Seronoknya zaman kanak-kanak..

keseronokan zaman kanak-kanak
        Zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling seronok bagi setiap manusia. Apa yang ada di dalam fikiran mereka hanyalah inginkan keseronokan dan belaian kasih sayang. Tiada sebarang masalah yang perlu mereka selesaikan. Tiada kerungsingan yang mengganggu kehidupan mereka. hidup mereka diaturkan oleh kedua ibu bapa mereka. Makanan dan pakaian orang lain akan sediakan. Bagi kanak-kanak, mereka inginkan kesoronokan ketika dapat bermain, walaupun permainan itu kotor atau membahayakan diri mereka sendiri. Apa yang penting keinginan mereka dapat dipenuhi. Seronoknya zaman kanak-kanak.

        Setelah masa berlalu, kanak-kanak tadi meningkat umur remaja dan dewasa. Zaman keseronokan tanpa sebarang masalah tadi telah berlalu. Kini, realiti kehidupan perlu mereka hadapi satu demi satu. Asam garam kehidupan menjadi hidangannya setiap hari. Ada hari yang manis, ada hari yang masam, ada hari yang kelat. Pengalaman akan mengajar dirinya erti sebuah kehidupan. Ada yang berjaya dengan mudah. Ada yang berjaya setelah melalui liku-liku hidup yang memeritkan. Ada juga yang terkandas di tengah-tengah perjalanan yang masih panjang. 

        Apa yang pasti, kehidupan ini adalah suatu ujian untuk setiap manusia. Janji Allah pasti benar. Setiap gerak geri kita akan dipersoalkan di akhirat kelak. Al-Hisab dan Al-Mizan tidak akan sesekali cuai dalam menghitung dosa dan pahala manusia. Justeru, ikutlah resam seorang petani. "Andaiku bercucuk tanam hari ini, esok aku dapat menuainya. Andai malasku hari ini, sengsaralah aku di hari kemudian."

Pernah suatu hari, Rasulullah SAW berjalan-jalan dan menemui sekumpulan pemuda sedang rancak berbual dan ketawa berdekah-dekah. Kemudian, Rasulullah SAW pergi menemui mereka lalu berkata: "sekiranya kamu dapat melihat bagaimana azabnya seksaan api neraka, pasti kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis kerana takutkan Allah SWT."

Beramallah sebanyak mungkin, 
seolah-olah esok kamu akan menemui Allah SWT...

sekadar renungan bersama daripada insan yang kerdil....






Monday, September 27, 2010

Tarbush Restaurant


Pada jam 2.45 petang tadi, aku dan rakan-rakan, Hafandi dan Nesa berkonvoi ke Batu Feringghi untuk mencari Tarbush Restaurant.. setelah sampai kami, memilih tempat duduk di kawasan luar, berdekatan dengan pantai supaya suasana makan kami lebih santai.. Tujuan sebenar kami nak berbincang dengan manager untuk Dinner guru-guru sekolah. So, kami terpaksa try dulu..

Terkaku sebentar bila melihat menu dan harga setiap hidangan.. tapi makan punya hal, harga belakang kira. Yang penting makan biar puas hati.

So, kami pilih 2 Biryani Lamb RM 24 per set + Shish Kebab Irany RM 32 per set + Arabic Tea RM 7

Apa yang aku boleh komen, tempat ni memang cantik, seperti sedang makan di Timur Tengah. Masakan Arab memang tulen dan sedap. sebab menurut manager tu, semua bahan diimport daripada Timur Tengah.

Yang paling penting semua hidangan kami adalah PERCUMA sebab dibelanja oleh manager tersebut yang kebetulannya senior di sekolah dulu.. Alhamdulillah makan free (",)

bagi sesiapa yang berminat boleh la klik di sini http://www.tarbush.com.my

Tarbush Restaurant, Batu Feringghi, Penang.


gambaran dari luar

suasana malam hari



Suasana malam


Hiasan dalaman


Biryani Rice

Cheese Naan

Dawood Basha

Lamb Soup

Mahalabia

Maklouba Lamb

Shish Kebab Irany

Shish Kebab Irany


Arabic Coffee

Arabic Tea
Tabouleh