Pages

Wednesday, October 27, 2010

Nikmatnya Jika Bersahabat

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

"Apakah doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku akan dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hanya tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali. Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?". Tanya Ali dalam keadaan terkejut.
“Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan.”
“InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat,” kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
“Bagaimana dengan anakmu?” anya Ali.
“Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya Cuma bertambah baik sedikit sahaja.”
“Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau…...”
“Kenapa dengan aku?”
“Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab.” Ahmad tersenyum…
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, “Aku hairan, doamu tidak mustajab.”
“Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah.”
“Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau.”
“Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.
(Cerita dipetik daripada Majalah Solusi Isu 22...)

Cerita ini sekadar ingin membuka minda dan menilai iman di dada kita khususnya bagi diriku sendiri. Boleh juga jika hendak dikaitkan dengan prinsip hidup seorang penulis buku dan blog yang terkenal iaitu saudara Hasrizal atau lebih terkenal dengan Saiful Islam. Berprinsipkan “Erti Hidup Pada Memberi”, membuatkan aku kagum dengannya. Suatu prinsip yang singkat pada ungkapan tetapi sebenarnya mempunyai maksud yang begitu luas.

Bukankah Allah telah menjanjikan syurga bagi seorang sahabat yang mendoakan sahabatnya secara diam-diam. Begitulah indahnya apabila dua orang yang bersahabat kerana Allah. Matlamat utama mereka hanyalah keredhaan daripada Allah swt.

Hidup ini perlu banyak memberi kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Perlu diingat, tidak semestinya pemberian itu hanya dari sudut kebendaan semata-mata. Sebaliknya doa juga adalah pemberian yang paling berharga, lebih-lebih lagi doa yang tidak diketahui oleh penerimanya.

Jangan sekali-kali kita lupa dan lalai dengan nikmat yang dikecapi selama ini. Kerana mungkin apa yang kita miliki sekarang adalah berkat doa daripada sahabat kita kepada kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, berkongsilah apa yang kita miliki, dan jangan menghitung berapa banyak yang kita dapat, tetapi hitunglah berapa banyak yang telah kita beri.
Tiba-tiba sahaja teringat sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarhamhu Ustaz Asri Rabbani. “Mana milik kita, Tidak ada milik kita, Semua yang ada, Allah yang punya.”

Biarlah kita berlapar, asalkan dirinya kenyang.
Biarlah kita sempit, asalkan dirinya selesa.
Biarlah kita susah sedikit, tetapi menyenangkan hidupnya.
Biarlah… kerana Allah akan menganugerahkan ganjarannya.
InsyaAllah (“,)


Alangkah indahnya hidup bersahabat,
Apabila susah, tangannya dihulurkan
Apabila gelisah, nasihatnya mendamaikan
Apabila menangis, pujukannya menenangkan
Apabila keseorangan, dia sanggup menemankan
Apabila tersasar, pantas dia meluruskan
Apabila memerlukan, dia datang tanpa diarahkan
Apabila didunia, dia sebagai teman
Di akhirat kelak, dia sebagai jiran…
(syoran_84, 2005)



No comments:

Post a Comment