Pages

Wednesday, November 2, 2011

Aku Insan Yang Berharap


Aku Insan Yang Berharap

Aku seorang insan, menggalas suatu amanah suci daripada Tuhanku seperti yang telah dimetrai di alam roh suatu ketika dahulu. Siang dan malam silih berganti sebagai peneman setia untukku isi coretan kehidupan pada buku amalan. Pada dasarnya aku mungkin adalah ‘driver’ bagi ‘trip’ duniawi ini. Namun, pada hakikat Allah Tuhan Yang Maha Agong lebih berhak ke atas diriku. Mengatur qada’ dan qadar hidupku. Aku dihidupkan pada masa dan ketika yang telah ditetapkan. Aku dipilih sebagai Muslim adalah dengan Rahmat Allah. Aku dibesarkan dengan kasih sayang ibu dan ayah yang penyayang, kerana sifat Rahim Allah. Aku diberi didikan yang baik kerana Allah memberi peluang. Bahkan semuanya adalah kurniaan daripadaNya, Allah Azza Wa Jall.

Pada suatu ketika aku senyum gembira dengan kegembiraan dan kejayaan yang dikecapi. Kadang pula berduka dan menangis kerana hati kecewa. Wahai hati, usah gelisah di kala diri ditimpa derita. Jangan terlalu kecewa seolah-olah itulah penamat cerita. Tetapi beringatlah wahai hati, itu semua adalah kehendak Ilahi. Mengapa ketika setiap yang direncanakan memperoleh kejayaan hati boleh bersyukur kepada Allah, sedangkan jika tidak berjaya hati sangat berat untuk bersyukur? Bukankah Tuhan yang memberikan aku kekalahan itu adalah Tuhan yang sama memberikan aku kejayaan?

Sedarlah wahai hatiku, ketika perancangan telah diatur, setelah gerak kerja telah diusahakan, hasilnya tetap pada hak Allah. Manusia mungkin telah merancang dengan baik, tetapi Allah jualah sebaik-baik perancang. Semuanya di dalam pengetahuan Allah Yang Maha Mengetahui. Apa sahaja natijahnya, baik atau buruk pasti itu yang terbaik daripada Allah SWT. Belajarlah untuk menerima dengan hati yang terbuka. Meredhai semua ketentuan Allah swt yang disebaliknya pasti penuh dengan hikmah.

Kini aku sedang merancang sesuatu yang sangat aku impikan. Ikhtiar telah digunakan dan usaha telah digerakkan. Semuanya untuk kebahagiaan diriku sekeluarga. Hati berdebar dan gelisah menunggu keputusan yang belum tiba. Mungkin usaha kali ini lebih gigih memandangkan tiga kali sebelum ini Allah belum izinkan ia berjaya.

Wahai hati, jangan terlalu mengharap pada makhluk, biarpun mereka punya kuasa dan pangkat sedangkan mereka sendiri tidak pernah mampu mengawal nasib sendiri. Jangan terlalu percayakan makhluk kerana makhluk boleh lembut gusi dari lidah. Jangan meminta jaminan daripada makhluk sedangkan kehidupan mereka pada sesaat selepas inipun masih belum terjamin. Sebaliknya berharaplah kepada Allah, percayalah kepada aturan Allah dan mintalah daripada Allah. Beringatlah wahai hati, bahawa sesungguhnya tiada sebaik-baik tempat bergantung melainkan bergantung kepada Allah swt. Tiada tempat untuk mengharap melainkan Allah jualah sebaik-baik tempat berharap.

Tiada suatu makhluk pun yang mampu menjamin kehidupannya sendiri walau hanya sesaat. Biarpun diri punya kekuatan, kekayaan, kemampuan dan kekuasaan, itu hanyalah ibarat jarum yang dicelup ke dalam lautan yang luas. Siapalah makhluk yang mampu menandingi kekuasaan Allah yang memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi. Sebijak-bijak Fir’aun laknatullah yang boleh meramal kelahiran seorang budak lelaki yang akan menumbangkan kerajaannya sehingga mengarahkan semua bayi lelaki dibunuh akhirnya membesarkan sendiri Nabi Musa a.s daripada kecil. Semulia-mulia golongan Iblis suatu ketika dahulu akhirnya menjadi golongan yang dilaknat oleh Allah swt.

Dengan itu, hatiku yang gelisah kembali tenang. Apa sahaja natijahnya akan ku terima dengan seadanya. Berjaya atau tidak aku serahkan semuanya bulat-bulat kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Tuhan Yang Sebaik-baik Pengatur. Semoga hati ini akan sentiasa terpahat perasaan syukur, lidah ini tidak pernah lekang dengan kalimah suci Alhamdulillah, dahi ini tidak pernah sekali-kali berasa jemu untuk sujud menyembah Ilahi. Berdoalah dan jangan pernah putus harapan kepada Allah swt. Yakinlah wahai hatiku, pastinya Allah swt telah merencanakan sesuatu yang terbaik buat agamaku sekeluarga, kebahagiaanku sekeluarga dan kehidupanku sekeluarga.


















- aku insan yang sentiasa berharap…