Pages

Friday, July 29, 2011

Mari Menyahut Seruan Ramadhan




Dengan nama Allah swt, bingkisan ini dimulakan. Terasa begitu cepat bumi ini berputar walaupun perjalanan masanya tidak pernah berubah walaupun sesaat. Semoga Allah mengizinkan kita sempat untuk bersama dengan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Bagi insan yang telah berumur 30 tahun, mungkin ibadat puasa pada kali ini adalah bagi yang ke-20 untuknya. Atau mereka yang berumur 20 tahun, ini mungkin kali yang ke-10. 

Namun, sejauh mana Ramadhan tersebut telah memberikan impak positif kepada dirinya sehingga mampu menggapai janji-janji Allah swt buat hambaNya yang bersabar. Atau mungkin ianya telah berlalu tanpa sebarang kesan yang boleh mengangkat darjat dirinya di sisi Allah 'Azza Wa Jall. Jika demikian, ia adalah suatu pembaziran masa yang amat merugikan. Seperti mana yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw,
"Dua nikmat yang manusia banyak tertipu dan rugi, iaitu kesihatan dan waktu lapang"                                                                               (Soheh Bukhari)
Secara umumnya, begitulah sifat sebahagian besar insan-insan di atas muka bumi ini. Perasaan terlalu cintakan dunia sehingga terlalu jauh daripada akhirat. Justeru, penulis ingin mengingatkan diri sendiri terutamanya, dan buat semua yang membaca bingkisan ini agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk ke sekian kalinya. Peluang untuk merebut kebesaran Rahmat dan Maghfirah Allah swt sepanjang sebulan di dalam bulan Ramadhan. Suatu tempoh masa untuk sesi penyucian roh dan sesi mengemaskini sistem kehidupan agar lebih selari dengan fitrah azali, bertepatan dengan buku manual kehidupan, al-Quranul Karim.

Umum mengetahui betapa tingginya kemuliaan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain seperti yang telah disampaikan melalui ceramah dan artikel. Ironisnya, ia dipandang enteng oleh sebahagian besar insan di atas muka bumi ini. Sehingga membiarkan ia berlalu pergi tanpa digarap dengan penuh iltizam.

Sebelum detik-detik Ramadhan itu menjelang tiba, alangkah beruntungnya insan-insan yang gigih mendisiplinkan diri dengan beberapa persediaan rapi. Memastikan kita menyahut sapaan Ramadhan dengan persiapan yang penuh gilang-gemilang. Di antaranya ialah:

1. Kenali Ramadhan untuk dicintai. Benarlah pesanan orang-orang tua, 'tak kenal maka tak cinta'. Luangkanlah sedikit masa, cuba kenali Ramadhan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad saw ini. Di zaman teknologi ini, semua maklumat di hujung jari anda. Taip sahaja Ramadhan, pasti terhidang betapa enaknya beribadat di dalam bulan tersebut. Pasti hati-hati akan terpaut untuk mengejarnya. Jantung berdegup kencang bagaikan tidak sabar menanti ketibaan 1 Ramadhan.


2. Bermuhasabah diri dengan mutu ibadat kita sepanjang Ramadhan yang telah berlalu. Cuba kita renungkan kembali amal ibadat kita sepanjang kita melalui bulan Ramadhan sebelum ini. Apakah yang perlu diteruskan dan apakah yang perlu dipertingkatkan. Selain Allah swt, pastinya kita lebih mengenali siapa diri kita. Maka perbaiki mutu ibadat puasa kita pada kali ini. Tidak berpuasa semata-mata menahan lapar dan dahaga, sebaliknya berpuasa seluruh anggota badan luar dan dalam daripada melakukan kemaksiatan terhadap Allah swt.


3. Perteguhkan yang fardhu, perbanyakkan yang sunat. Bukankah di dalam suatu hadis Rasulullah saw telah menyatakan. kelebihan ganjaran ibadat akan digandakan pada bulan Ramadhan. Ibadat sunat akan dikira seperti ibadat wajib, manakala ibadat wajib akan digandakan kepada 70. Suatu tawaran 'Mega Sale' buat ahli-ahli ibadat yang sentiasa menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan menahan diri daripada sifat malas beribadat kepada Allah swt.


4. Berdampinglah dengan al-Quran. Bukankah ia diturunkan pada bulan Ramadhan? Lihat sahaja teladan daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Baginda mengulangi al-Quran dihadapan Jibril as sebanyak dua kali pada bulan Ramadhan. Membuktikan keagungan bertadarus dan bertadabbur dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan.


5. Bersedialah untuk 10 malam yang terakhir. Jika diperhatikan, masjid dan surau penuh sesak pada awal Ramadhan. Tetapi semakin lesu bila menghampiri penghujungnya. Mungkin ramai yang telah salah percaturan, atau mungkin kerana kejahilan ilmu, atau mungkin telah kalah sebelum berjuang. Sedarilah kemuncak ketinggian rahmat Allah di dalam bulan Ramadhan adalah pada malam Lailatul Qadar. Justeru, semua persiapan di atas adalah bagi menyahut seruan Allah swt pada malam tersebut. Rasulullah saw juga ada mengingatkan agar mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir. Dengan persiapan rapi sepanjang 20 hari sebelumnya, pasti kita akan lebih mudah mengharungi pada 10 hari yang berikutnya.


6. Anggaplah Ramadhan ini adalah yang terakhir. Begitulah caranya para sahabat dapat mencapai kenikmatan di dalam beribadat. Melakukan setiap perkara dengan sebaik mungkin dengan beranggapan ia adalah peluang yang terakhir. Secara tidak sedar, ia merupakan suatu motivasi untuk menggerakkan roh daripada terlena dibuai mimpi keindahan dunia yang fana ini. Dengan itu, setiap saat yang berlalu akan diisi dengan amal ibadat yang terbaik tanpa diabaikan begitu sahaja.


Diharapkan semua persediaan ini akan menguatkan kita semasa menyahut seruan Ramadhan tidak lama lagi. Bagi memastikan iman kita tidak goyah sepanjang berjuang melawan godaan hawa nafsu nanti. Seterusnya membawa kita ke arah menggapai janji Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang bertaqwa. Itulah perjuangan yang sebenar bagi menjamin kesenangan hidup di alam baqa'. 


Ya Allah, Semoga diri ini lebih beringat, ketika sedang mengingatkan...
Wallahu a'lam



Thursday, July 21, 2011

Selamat Hari Lahir




Setinggi-tinggi rasa syukurku kehadrat Allah swt di atas peluang untuk merasai kehidupan di alam dunia ini walaupun ia hanyalah sementara berbanding kehidupan di alam baqa’. ‘Happy Birthday, Selamat Hari Ulang Tahun’ mungkin itulah ucapan selamat kita kepada rakan-rakan apabila tiba detik ulangtahun hari kelahirannya.  Lebih mengembirakan apabila rakan-rakan menghadiahkan sesuatu sebagai tanda ucapan selamat apatah lagi jika diserikan lagi dengan sebuah majlis keraian di tempat istimewa dengan hidangan yang enak. Hari yang disambut setahun sekali itu pastinya sangat mengembirakan, bahkan sering ditunggu-tunggu dengan penuh kesabaran.

Berbeza dengan Rasulullah saw dan para sahabat yang sentiasa memenuhi harinya dengan rasa takut dan gerun kepada Allah swt seakan-akan tiada hari esok buat mereka. Berlalunya usia mereka dengan iringan perasaan bimbang dan khuatir sekiranya setiap detik mereka bernafas, mereka terlalai daripada mengingati Allah ‘Azza Wa Jall. Atau tenaga  yang dicurahkan setiap hari, mereka gunakan untuk kepentingan diri sehingga membelakangkan syiar Islam yang perlu ditegakkan.

Jurang perbezaan yang sangat besar jika dibandingkan akhlak umat dahulu dengan sekarang. Bukankah semakin bertambah usia, maka semakin hampir detik ajalmu? Itulah persoalan yang sepatutnya difikirkan. Tidak perlu dibanggakan dengan jumlah batang lilin di atas kek itu, sedangkan amal tidak ke mana. Jangan terlalu gembira pada hari itu, kerana ia petanda perhitungan ke atas usiamu akan semakin bertambah.

Kek Birthday

Manusia sering berkira-kira dengan usia di dunia ini, sedangkan ia hanyalah suatu garisan pendek yang ada titik hujungnya. Tetapi terlupa untuk berkira-kira dengan usia di alam akhirat yang baqa’ ibarat suatu garisan panjang yang tiada penghujungnya. Selamatlah insan-insan yang memelihara garisan pendek kerana mereka akan bahagia semasa di garisan panjang nanti.


“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).” (Surah al-Ankabuut:64)

Begitulah besarnya fitnah dunia sehingga membutakan  mata yang sedang melihat, memekakkan telinga yang boleh mendengar dan melalaikan akal yang mempu berfikir dengan waras. Alangkah mulianya insan yang singkat umurnya, tetapi terlalu besar jiwanya. Lihat sahaja pada al-Imam as-Syahid Hassan al-Banna pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin yang hanya sempat merasai alam dunia selama 43 tahun. Tetapi hasil gerakan dan usaha murninya, memberi impak ke seluruh pelusuk dunia sehingga kini.

Hari ini, mengikut kiraan kalendar masihi, usiaku bertambah setahun lagi. Maka bingkisan ini adalah untuk tatapan diriku sendiri. Buat renungan muhasabahku terhadap Tuhanku. Semoga usiaku dihindari sebarang fitnah dunia. Ia berlalu seiring dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw. Jauh di lubuk hatiku, aku berdoa agar Allah swt mengizinkan roh dan jasadku untuk diabadikan untuk Islam. Dengan itu, hamba yang kerdil ini akan sentiasa mengharapkan perencanaan yang terbaik daripadaMu Ya Allah. Moga ditunjuki jalan yang dilalui oleh para Nabi, Siddiqiin, Syuhada’ dan Solihiin.

Demi menggapai redhaMu Ya Allah…


Wednesday, July 20, 2011

Bersedia menjadi kepompong, baru lahir si Rama-rama..

Sedar mahupun tidak, hari-hari di bulan Syaaban kian berlalu pergi dan mengucapkan ahlan wasahlan kepada Ramadhan al-Mubarak yang bakal menjelang tiba. Terasa begitu cepat masa berlalu. Seolah-olah baru semalam kita merasai Ramadhan yang lepas. Tetapi kini, kita akan lalui lagi buat kesekian kalinya jika kita dipilih oleh Allah swt.

Seharusnya tidak lekang di bibir kita untuk berdoa semoga kita diberi kesempatan melalui Ramadhan yang akan datang kerana dalam masa sesaat pun kita tidak dapat menjamin roh masih lekat dijasad kita. Justeru, seandainya kita dipilih oleh Allah swt untuk melalui detik-detik Ramadhan pada tahun ini, tidak dapat tidak kita mesti bersyukur kepada Allah Azza Wa Jall. Kerana di sana terdapat kelebihan rahmat Allah swt yang mencurah-curah bagaikan hujan lebat yang membasahi bumi.

Sengaja Allah swt menciptakan Ramadhan al-Kareem buat hamba-hambaNya sebulan daripada setiap tahun yang berlalu. Ia bagaikan suatu tempoh untuk manusia kembali kepada fitrah mengenang kembali perjanjian lafaz taat setia yang termetrai di antara roh dengan Allah swt. Supaya setiap manusia yang tersasar daripada jalan syariat Islam, akan kembali menemui arah tujuannya yang sebenar. Sedangkan kereta pun perlu di servis setelah cukup tempoh masa dan ketikanya demi menjaga kualiti agar ia dapat berfungsi dengan baik.

Setelah dikaji dan diamati, rupa-rupanya di sebalik kewajipan menunaikan ibadah puasa sebulan di dalam bulan Ramadhan, terdapat 1001 hikmah yang boleh dirungkaikan. Sama ada berkaitan dengan peningkatan amal ibadah, kesihatan jasmani, ketenangan jiwa dan sebagainya. Apa yang pasti, Allah swt telah menjanjikan rahmatNya yang tidak terbatas untuk hamba-hambaNya yang tekun dan sabar dalam menunaikan ibadah pada bulan tersebut.

Justeru, sebagai hamba Allah yang taat dan patuh kepada syariatNya, bulan Ramadhan adalah masa yang amat dinanti-nantikan. Segala rahmat dan kelebihan yang terisi di dalamnya akan digarap sebanyak mungkin buat bekalan di akhirat kelak. Bagi orang-orang yang beriman, inilah masa untuk mereka melepaskan dunia seketika dan mengejar akhirat sejauh yang mungkin.

Teringat sebuah cerita yang disampaikan oleh Cikgu Saadan semasa halaqat baru-baru ini, bagaimana Imam Hassan al-Banna dan sahabat jamaahnya akan saling mengucapkan selamat berpisah tatkala menjelang tibanya bulan Ramadhan. Kerana pada masa itulah, mereka akan bermujahadah siang dan malam untuk menuntut cinta Ilahi dan melepaskan sementara hal-hal duniawi.

Ayuhlah! Kita kejar perniagaan ini. Keuntungannya  beratus-ratus lipat kali ganda daripada perniagaan pada hari-hari biasa. Ibadah wajib digandakan sebanyak mungkin, ibadah sunat diganjari dengan pahala ibadah wajib, syaitan iblis dibelenggu rantai neraka, rahmat Allah melimpah ruah sehingga dibuka pintu-pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup semua pintu neraka, bertambahnya nama-nama penghuni syurga dan terpadamnya nama-nama penghuni neraka, dosa yang menggunung akan diampunkan oleh Allah Taala dan amalan pada malam Lailatul Qadar menyamai amalan seribu bulan.

Alangkah beruntungnya golongan yang menyahut cabaran ini, seolah-olah sepanjang bulan Ramadhan mereka bagaikan kepompong yang terpisah daripada dunia luar. Mengabdikan diri kepada Rabbul Jalil siang dan malam tanpa henti demi mengejar redha Ilahi. Setelah berakhirnya tarbiyah Ramadhan, mereka lahir sebagai seorang insan suci yang luhur dan murni, bagaikan si Rama-rama cantik yang baru keluar dari kepompongnya.


Dari kepompong
Lahirlah si Rama-rama



Wahai jiwaku yang di dalam genggaman Ilahi,
Bangunlah dari tidur mimpi,
Menyahut seruah Ilahi,
Lantas berdiri menyucikan diri,
Mengabdikan diri, dengan setulus hati.

Di sana punya Jannatul Firdausi,
Buat kamu yang menunaikan janji,
Redha Allah terus dicari,
Agar kelak hidupmu tidak dikesali.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Kareem.. 
Semoga kita menjadi insan pilihan Allah swt

Thursday, July 14, 2011

Ku berkongsi untuk masaku lebih terisi



Sekadar ingin berkongsi sebuah bingkisan hati sempena ceramah motivasi di sebuah sekolah di Pulau Pinang bulan lepas. Tajuk yang diberi "Sayangi Ibu Bapa, Hormati Guru". Dua isu besar yang perlu dikupas pada satu masa. Walaupun agak rumit untuk memadatkan isi kandungannya, tetapi aku cuba sebaik mungkin. Entah bagaimana 'feedback' yang diterima, namun apa yang diharapkan ialah usaha murni ini akan diterima oleh Allah swt sebagai suatu usaha jihad ku untuk membawa adik-adik ini mengenal Allah tuhan mereka, Muhammad saw pemimpin agong mereka, Ibu dan ayah dua insan mulia dalam kehidupan mereka, Guru pendidik dan pembimbing alam dunia dan akhirat mereka. 



Ku berkongsi untuk masaku lebih terisi, ku mengajar untukku lebih belajar. Keranaku cuma insan biasa yang mengharapkan redha Ilahi.. Semoga diberi hati yang ikhlas, kekuatan yang padu, keazaman yang istiqamah... InsyaAllah

Ayuhlah Putera Puteriku
Selagi jasadmu masih bernyawa,
Selagi itulah pintu taubat masih terbuka,
Langkahkan kaki mencari Rabbul Jalil,
Tekadkan semangat,
Jenuhkan usaha,
Dalam menggapai redha Ilahi.
Kenanglah jasa Ibu dan Ayahmu
Kerana mereka, kini kamu membesar dewasa,
Bukan harta yang mereka minta,
Kebahagiaanmu  itulah sahaja
Jadilah anak soleh dan solehah
Mendoakan mereka di alam sana.
Berusahalah mendalami ilmu berguna
Untuk kejayaan di dunia  dan akhirat
Pengorbanan guru jangan kau lupa
Di situlah punca mendapat berkatnya
Semoga kalian berjaya, di dunia dan akhirat
InsyaAllah                              
- Ust Shukri (18/6/11 @1.15am)

Thursday, July 7, 2011

Bersihkan hubungan itu, Akan sucilah ikatanmu..

"Manis terasa bagi dua insan yang saling merindui walau sekadar mendengar alunan suara. Alangkah manisnya dapat bertemu, menatap wajahnya insan yang tersayang. Terubat segala rindu dendam yang mencengkam jiwa."

Mungkin begitulah perasaan sepasang kekasih yang sedang hangat bercinta. Bagai tidak mahu berpisah walau sesaat. Kehangatan kian membara apabila masing-masing berjauhan dek kerana ikatan sah yang belum terbina. Situasi ini pasti berlaku kepada kebanyakan remaja hari ini yang begitu asyik dengan dunia percintaan yang dianggap lumrah kehidupan. Rata-rata mereka merasakan perhubungan itu adalah suci atas nama sebuah ikatan percintaan.

Membelakangi batasan syariat dan agama, menjadikan kebebasan mutlak sebagai pegangan utama perhubungan tersebut. Merasakan ia adalah hak peribadi sebagai seorang yang bergelar manusia, sejajar dengan pembawakan masyarakat barat. Mungkin itulah cara hidup remaja berfikiran terbuka seiring dengan kemajuan semasa. Seawal usia belasan tahun, bibit percintaan mula dipraktikkan kerana tidak mahu ketinggalan dengan arus kemodenan pemikiran dan cara hidup dunia masa kini.

Lebih membingungkan apabila pasangan ini menganggap ikatan itu adalah suci atas nama sebuah percintaan. Apatah lagi ia adalah ikatan pertunangan. Tidak lama lagi mereka akan berkahwin. Kekebalan pada pasangan remaja pula apabila direstui oleh ibu bapa masing-masing dengan syarat pelajaran tidak ditinggalkan. Lupakah mereka dengan Islam yang mereka anuti? Sudah tidak relevankah pantang larang adat resam budaya nenek moyang mereka?

Apa yang pasti, mereka telah membuka ruang menuju ke lembah kemaksiatan. Daripada Ukbah bin Amir menyebut bahawa Nabi s.a.w. bersabda: 
“Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya kerana yang ketiga ialah syaitan."  (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi)


Hari ini, hadis ini tidak mahu diamalkan. Mereka menganggap mereka mampu menjaga batas-batas pergaulan. Lagipun mereka berjumpa di tempat awam, berbincang hal pelajaran, mahu membincangkan hal perkahwinan yang masih tertangguh, ibu dan ayah tahu mereka berjumpa. Pelbagai alasan dilontarkan demi menghalalkan perhubungan itu. Beranikah kita menyatakan hadis Rasulullah s.a.w tersebut telah lapuk dan ketinggalan zaman. Atau ada pasangan tertentu yang terkecuali daripada amaran Rasulullah itu.



Sedarilah bahawa sesungguhnya percintaan itu suatu yang amat suci jika selaras dengan ajaran al-Quran dan menepati sunnah Rasulullah s.a.w. Mengapa menghalalkan sebuah perhubungan yang pada pandangan Islam belum pun lagi dibina. Atau perhubungan yang baru sahaja bertapak dengan ikatan pertunangan. Hakikatnya ikatan pertunangan bukanlah suatu lesen untuk terlerainya batas-batas pergaulan antara seorang lelaki dan perempuan.

Kain putih yang bersih mengapa dikotorkan sebelum ianya dilukis? Bukankah itu tindakan yang akan merugikan. Fahamilah larangan hadis tersebut dengan iman dan akalmu. Bukalah mata hatimu dan pandanglah 1001 hikmah disebaliknya. Lebih baik mencegah awal daripada berpenat lelah untuk mencari penawar dikemudian hari.

Sanggupkah kita melihat anak-anak yang lahir tanpa ayah kandung yang sah? Relakah kita membiarkan anak gadis kita bergelumang dengan kancah maksiat? Ayuh saudara, jangan dirosakkan ikatan murni itu. Halalkan ia dengan mahligai perkahwinan yang sah. Kelak, redha Allah akan menanti. Semoga Allah swt menyelamatkan kita, ahli keluarga kita daripada lubang-lubang maksiat yang akan merosakkan jiwa-jiwa kita sebagai hamba Allah swt.

Wallahua'alam..

Surah Al-Furqan: 74

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا 
.. "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami imam kepada orang-orang yang bertaqwa." 



Tuesday, July 5, 2011

Luahan Hati Sasterawan Negara




Semakin lara kita didera bara—

kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu

oleh:A Samad Said

Monday, July 4, 2011

Hadirkan Redha di dalam Hatimu, Agar Berpisah Tidak Gelisah...



Alhamdulillah, syukurku padaMu Ya Allah kerana aku selamat tiba ke bumi Pulau Pinang Maghrib tadi. Itu tandanya aku telah selamat menghantar isteri dan anakku ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Tempat aku menghabiskan cuti hujung mingguku semenjak hampir setahun setengah yang lalu. Aku sempat berehat daripada meneruskan aktiviti itu pada tiga bulan lepas memandangkan isteri dan anakku berada di kampung. Dan kini, tempoh itu telah berakhir, isteriku perlu kembali bekerja di sana.

Justeru, bermulalah episod baru dalam kisah hidupku. Aku perlu berjauhan pula dengan anakku Nur Safiyya Amani. Terasa sangat berat hati ini untuk tinggalkan mereka tengah hari tadi. Perasaan yang tersangat hiba, sehingga terasa basah di pipi. Pelik! tidak pernah ku terasa seperti ini sepanjang ingin berpisah seketika dengan isteriku selama ini. Mungkin kiniku sedar, aku terpaksa berjauhan dengan dua insan yang ku sayang. Apatah lagi bila aku amat sedar, dua insan ini terpaksa berdikari tanpa aku di sisi. Tanpa sanak saudara yang boleh membantu. Tidak sama seperti bila ku tinggalkan mereka di kampung. Mak, ayah dan adik-adik boleh tengok-tengokkan. Aku juga tidak dapat melalui pengalaman perubahan Safiyya setiap hari.

Sengaja aku cepat-cepat tinggalkan mereka. Tidak mahu air mata ini tumpah di hadapan mereka. Sedangkan aku sentiasa mengingatkan mereka agar selalu kuatkan diri, jangan lemah semangat. Mana boleh aku pula yang tampak lemah. Aku bisikkan di dalam hati kecil ku "Tawakkaltu 'alaika Ya Allah, InsyaAllah setiap hujung minggu Allah akan mempertemukan kita."

Buat isteri dan permata hatiku,
Dari jauh, kalian sentiasa ku ingati,
Bersama memori indah kita bersama,
Rindu di hati terubat jua.


Isteriku, Abang sentiasa mendoakan kesejahteraanmu,
Agar kamu diberi kekuatan oleh Allah,
Melaksanakan amanah dan tanggungjawab,
Dengan sabar dan cekal hati.

Apa yang ku harapkan, semoga ujian ini dapat kami harungi dengan sifat redha kepada Allah swt. Disebalik jerih payah ini, mungkin punya 1001 hikmah daripada Allah Azza Wa Jalla.

Hadirkan redha di dalam hatimu, agar berpisah tidak gelisah...