Pages

Friday, July 29, 2011

Mari Menyahut Seruan Ramadhan




Dengan nama Allah swt, bingkisan ini dimulakan. Terasa begitu cepat bumi ini berputar walaupun perjalanan masanya tidak pernah berubah walaupun sesaat. Semoga Allah mengizinkan kita sempat untuk bersama dengan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Bagi insan yang telah berumur 30 tahun, mungkin ibadat puasa pada kali ini adalah bagi yang ke-20 untuknya. Atau mereka yang berumur 20 tahun, ini mungkin kali yang ke-10. 

Namun, sejauh mana Ramadhan tersebut telah memberikan impak positif kepada dirinya sehingga mampu menggapai janji-janji Allah swt buat hambaNya yang bersabar. Atau mungkin ianya telah berlalu tanpa sebarang kesan yang boleh mengangkat darjat dirinya di sisi Allah 'Azza Wa Jall. Jika demikian, ia adalah suatu pembaziran masa yang amat merugikan. Seperti mana yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw,
"Dua nikmat yang manusia banyak tertipu dan rugi, iaitu kesihatan dan waktu lapang"                                                                               (Soheh Bukhari)
Secara umumnya, begitulah sifat sebahagian besar insan-insan di atas muka bumi ini. Perasaan terlalu cintakan dunia sehingga terlalu jauh daripada akhirat. Justeru, penulis ingin mengingatkan diri sendiri terutamanya, dan buat semua yang membaca bingkisan ini agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk ke sekian kalinya. Peluang untuk merebut kebesaran Rahmat dan Maghfirah Allah swt sepanjang sebulan di dalam bulan Ramadhan. Suatu tempoh masa untuk sesi penyucian roh dan sesi mengemaskini sistem kehidupan agar lebih selari dengan fitrah azali, bertepatan dengan buku manual kehidupan, al-Quranul Karim.

Umum mengetahui betapa tingginya kemuliaan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain seperti yang telah disampaikan melalui ceramah dan artikel. Ironisnya, ia dipandang enteng oleh sebahagian besar insan di atas muka bumi ini. Sehingga membiarkan ia berlalu pergi tanpa digarap dengan penuh iltizam.

Sebelum detik-detik Ramadhan itu menjelang tiba, alangkah beruntungnya insan-insan yang gigih mendisiplinkan diri dengan beberapa persediaan rapi. Memastikan kita menyahut sapaan Ramadhan dengan persiapan yang penuh gilang-gemilang. Di antaranya ialah:

1. Kenali Ramadhan untuk dicintai. Benarlah pesanan orang-orang tua, 'tak kenal maka tak cinta'. Luangkanlah sedikit masa, cuba kenali Ramadhan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad saw ini. Di zaman teknologi ini, semua maklumat di hujung jari anda. Taip sahaja Ramadhan, pasti terhidang betapa enaknya beribadat di dalam bulan tersebut. Pasti hati-hati akan terpaut untuk mengejarnya. Jantung berdegup kencang bagaikan tidak sabar menanti ketibaan 1 Ramadhan.


2. Bermuhasabah diri dengan mutu ibadat kita sepanjang Ramadhan yang telah berlalu. Cuba kita renungkan kembali amal ibadat kita sepanjang kita melalui bulan Ramadhan sebelum ini. Apakah yang perlu diteruskan dan apakah yang perlu dipertingkatkan. Selain Allah swt, pastinya kita lebih mengenali siapa diri kita. Maka perbaiki mutu ibadat puasa kita pada kali ini. Tidak berpuasa semata-mata menahan lapar dan dahaga, sebaliknya berpuasa seluruh anggota badan luar dan dalam daripada melakukan kemaksiatan terhadap Allah swt.


3. Perteguhkan yang fardhu, perbanyakkan yang sunat. Bukankah di dalam suatu hadis Rasulullah saw telah menyatakan. kelebihan ganjaran ibadat akan digandakan pada bulan Ramadhan. Ibadat sunat akan dikira seperti ibadat wajib, manakala ibadat wajib akan digandakan kepada 70. Suatu tawaran 'Mega Sale' buat ahli-ahli ibadat yang sentiasa menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan menahan diri daripada sifat malas beribadat kepada Allah swt.


4. Berdampinglah dengan al-Quran. Bukankah ia diturunkan pada bulan Ramadhan? Lihat sahaja teladan daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Baginda mengulangi al-Quran dihadapan Jibril as sebanyak dua kali pada bulan Ramadhan. Membuktikan keagungan bertadarus dan bertadabbur dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan.


5. Bersedialah untuk 10 malam yang terakhir. Jika diperhatikan, masjid dan surau penuh sesak pada awal Ramadhan. Tetapi semakin lesu bila menghampiri penghujungnya. Mungkin ramai yang telah salah percaturan, atau mungkin kerana kejahilan ilmu, atau mungkin telah kalah sebelum berjuang. Sedarilah kemuncak ketinggian rahmat Allah di dalam bulan Ramadhan adalah pada malam Lailatul Qadar. Justeru, semua persiapan di atas adalah bagi menyahut seruan Allah swt pada malam tersebut. Rasulullah saw juga ada mengingatkan agar mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir. Dengan persiapan rapi sepanjang 20 hari sebelumnya, pasti kita akan lebih mudah mengharungi pada 10 hari yang berikutnya.


6. Anggaplah Ramadhan ini adalah yang terakhir. Begitulah caranya para sahabat dapat mencapai kenikmatan di dalam beribadat. Melakukan setiap perkara dengan sebaik mungkin dengan beranggapan ia adalah peluang yang terakhir. Secara tidak sedar, ia merupakan suatu motivasi untuk menggerakkan roh daripada terlena dibuai mimpi keindahan dunia yang fana ini. Dengan itu, setiap saat yang berlalu akan diisi dengan amal ibadat yang terbaik tanpa diabaikan begitu sahaja.


Diharapkan semua persediaan ini akan menguatkan kita semasa menyahut seruan Ramadhan tidak lama lagi. Bagi memastikan iman kita tidak goyah sepanjang berjuang melawan godaan hawa nafsu nanti. Seterusnya membawa kita ke arah menggapai janji Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang bertaqwa. Itulah perjuangan yang sebenar bagi menjamin kesenangan hidup di alam baqa'. 


Ya Allah, Semoga diri ini lebih beringat, ketika sedang mengingatkan...
Wallahu a'lam



No comments:

Post a Comment