Pages

Monday, October 25, 2010

Di sini bermula...


Hari ini genap umur bayi di dalam kandungan isteriku 16 minggu 5 hari. Alhamdulillah…. Syukur yang tidak terhingga kepadaMu ya Rabb. Anugerah yang tidak ternilai yang pernah aku dapat selama aku hidup di atas muka bumi ini Ya Allah. Berdasarkan respon Dr Ishak hari itu, perkembangan bayi adalah normal dan baik. Nasihat beliau agar isteriku banyakkan makan makanan yang seimbang dan berkhasiat. Lebih baik jika ditambah dengan vitamin untuk menguatkan rahim dan membantu pembesaran bayi supaya kekal sihat. Cuma masalahnya, isteri kesayanganku ini tidak berminat dengan susu. Apa boleh buat, benda yang tidak suka tidak boleh dipaksa-paksa. Mungkin akan diusahakan dengan cara lain.

Sebelum pulang, Doktor sempat berkata “banyakkan berdoa, insyaAllah semuanya akan ok.” Ya, pastinya aku bersetuju. Manakan tidak. Semuanya datang daripadaNya. Apa yang telah berlaku, sedang berlaku, dan akan berlaku berada di dalam pengetahuan Allah. Hinggakan daun kering yang gugur ke bumi pun Allah lebih tahu tempoh dan ketikanya. Ulat yang hidup di dalam batu, bernyawa kerana Allah yang memberikan rezeki. Mana mungkin aku akan mengabaikan daripada mohonan kesejahteraan keluargaku kepadaNya.

Bukankah daripada tiada, Allah satukan dua benih di dalam rahim. Sehingga terbentuk segumpal darah lalu menjadi seketul daging. Kemudian terjadi tulang-belulang yang dibaluti daging sehinggalah terbentuknya anggota badan manusia yang sempurna. Ulama’ bersepakat mengatakan apabila bayi tersebut berumur 40 hari, maka roh akan ditiupkan ke dalam jasad bayi tersebut. Di saat itu, bermulalah sebuah ikatan perjanjian di antara roh dengan Penciptanya. Ingatlah, kelak, Tuhan itulah yang berhak kau sembah. Taatilah segala suruhanNya dan jauhilah semua laranganNya.

Sepertimana Allah nyatakan di dalam Surah al-Mukminuun ayat 12-14 :
12. Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
13. Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan Yang kukuh;
14. Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu Dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk Dia menjadi makhluk Yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

Persoalannya, mengapakah apabila lahirnya bayi tersebut ke alam dunia, membesar hingga dewasa, dia tidak kenal siapa Tuhannya. Bukankah Allah itu adalah Tuhan yang sama memetrai perjanjian dengannya semasa di alam rahim? Bukankah Allah itu juga yang memberi jaminan untuk memelihara dirinya semasa keseorangan di alam kegelapan (dalam rahim)?. Cepatnya perjanjian itu diabaikan. Egonya diri sehingga berani membelakangkan Allah dek kerana keangkuhan diri.

Mengapakah ini boleh berlaku? Mungkin kerana ibu bapa bayi tersebut mengabaikan apa yang dinyatakan oleh Baginda SAW bahawa setiap bayi itu bersih ibarat kain putih. Maka ibu bapanyalah yang bertanggungjawab mencorakkan bayi itu untuk menjadi baik atau pun tidak.

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda :
Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci yakni muslim). Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi,”   (Riwayat Bukhari)
anak yang soleh dan solehah tidak pernah lupa dirinya dan siapa Tuhannya..


Berdoalah kepada Allah SWT agar memberikan kita zuriat yang soleh dan solehah.


Anak yang.....
Apabila bercakap, zikir yang diungkap
Apabila berjalan, menjaga pandangan
Apabila keseorangan, Allah sebagi teman
Apabila beramal, melimpah bekal
Apabila bekerja, bukan yang sia-sia
Apabila hilang arah tujuan, Quran dan Sunnah menjadi pedoman
Di sepanjang kehidupan, redha Allah yang selalu diharapkan...






Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! kurniakanlah kepadaKu dari sisiMu zuriat keturunan Yang baik; Sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan".                                                                    (Surah Ali-Imran : 38)




3 comments:

  1. assalammualaikum.....
    kak chik tak nak minum susu ya shuk? haa suh kak chik banyakkan minum soya n air kelapa muda tau, lagi baik minum soya buatan sendiri..baik utk kandungan tu...insyaALLAH

    ReplyDelete
  2. syuk jemputlah ke blog saya http://cikgufendi85.blogspot.com..jom singgah;)

    ReplyDelete
  3. waalaikumussalam..
    ha'a ain.. kalau soya ngan air kelapa dia minum la.. thanks for the advice =) macam berpengalaman je..hehe

    ReplyDelete