Pages

Saturday, October 2, 2010

Jika Allah Izinkan...

  
   Pada malam Jumaat yang lepas, rasa teringin nak makan tomyam. Sebuah restoren masakan siam di Bukit Dumbar menjadi pilihanku. Dan seperti biasa aku menghabiskan makan malam ku seorang diri memandangkan masih dalam PJJ (perkahwinan jarak jauh).

     Setelah selesai makan, aku keluar daripada kedai, dan aku terlihat seorang lelaki di dalam kegelapan. Dengan berpakaian ala-ala tabligh tetapi berseluar slack hitam. Entah mengapa aku pergi menyapanya sedangkan agak jarang untuk ku bertegur sapa dengan orang terutamanya dalam keadaan tergesa-gesa untuk pulang.

     Padanya ada sebuah beg galas, sambil memegang sapu tangan biru, dan seutas tasbih. Belum sempat aku membuka bicara, dia dengan pantas mengusap matanya dengan sapu tangan tersebut. Kini, aku dapat lihat wajahnya dengan jelas. Umurnya dalam lingkungan 30an. Katanya,
Tuan, Allah Taala izinkan saya sampai di sini petang tadi. saya datang daripada Jitra. Dengan sebab ada urusan saya perlu datang ke sini. Jika Allah Taala izinkan esok saya perlu ke Pejabat Agama untuk selesaikan masalah tersebut. Tetapi saya telah terputus wang.
     Jika Allah Taala izinkan....  entah mengapa hatiku tesentuh dengan kata-kata pemuda ini. Dia memerlukan sedikit sumbangan wang. Tetapi menyandarkan penyelesaian masalahnya kepada Allah. Jika Allah Taala izinkan... sedangkan sebelum ini, banyak kali aku bertemu dengan insan-insan yang memerlukan sumbangan seperti ini. tetapi tidak pernah menyandarkan kepada Allah swt.

     Terasa hiba sekali dengan ungkapannya. Bagiku maruahnya tidak pernah hina kerana memerlukan sumbangan wang daripada orang lain, tetapi sebaliknya maruahnya diangkat oleh Allah kerana ungkapanya tadi. aku memandang tinggi kepada pemuda tadi. Tanpa bercakap panjang, aku menghulurkan sedikit sumbangan untuknya. walaupun dia tidak mahu terima kerana melebihi apa yang dihajatinya. Tiba-tiba terkeluar dari bibirku "Abang, bila abang berkehendak, abang meminta pertolongan Allah. Bila abang hilang tempat bergantung, abang bertawakkal kepada Allah. Maka ini adalah kurniaan Allah, bukan daripada saya. Dengan harapan, jika selepas ini, saya susah, Allah juga akan membantu saya."

     Selepas bersalaman, aku meminta izin untuk pergi. Aku lihat wajah yang sugul tadi telah ceria. Alhamdulillah. Semoga Allah terima sumbangan itu yang tidak seberapa berbanding Saidina Abu Bakar yang menyerahkan semua hartanya ke jalan Allah. Yang tinggal hanyalah Allah dan Rasul. Bila aku sampai kepada motor, aku lihat dia seperti sedang berdoa. Mungkin kerana bersyukur Allah mendengar rintihan hatinya. Itulah adab seorang hamba, apabila menerima musibah, mereka bersabar, apabila menerima nikmat, mereka bersyukur.

*hanya sekadar ingin berkongsi... Ya Allah jauhkan diriku daripada sifat riak, takabur dan munafik..




1 comment: