Pages

Wednesday, October 20, 2010

Hanya PadaMu..


Bismillahirrahmanirrahim..

Entah mengapa malam ini, fikiranku ligat memikirkan beberapa perkara. Hatiku gundah bagaikan ada perkara yang tidak kena. Agak lama juga blog ini sunyi daripada coretan pemiliknya. Mungkin ini yang membuatkan hatiku tidak tenang. Setiap hari ada saja topik yang ingin aku kongsikan di dalam blog ini. Cuma masa begitu mencemburuiku. Kadang-kadang telintas di fikiranku, “kenapa nak penat-penat tulis, siapa yang akan membacanya? Yang pastinya, blog ini hanya sebagai tempat untuk aku meluahkan apa yang terbuku di dalam hati, dan merungkaikan persoalan yang bermain di dalam fikiranku. Agar menjadi sebuah kenangan untukku tatap dikemudian hari.

Perjalanan hidup bagaikan putaran roda yang berpusing. Ada hari hidup kita di atas, ada pula hari yang lain kita di bawah. Ada hari yang urusan kita semuanya mudah, wajah kita pastinya ceria dan penuh bersemangat. Ada hari pula urusan bertimpa-timpa, semuanya bagai tidak menjadi, wajah sugul kerana fikiran yang berserabut. Justeru, apa sikap kita? Apa adab kita sebagai seorang hamba untuk menghadapinya?

Apabila kita mendapat kesenangan dan kejayaan, semestinya kita perlu bersyukur kepada Allah SWT yang memberi anugerah kepada kita. Ia bagaikan suatu hadiah yang tidak ternilai harganya. Agak mengecewakan apabila sebilangan besar daripada manusia lupakan Allah apabila mereka senang. Waktu bila mereka akan ingat Allah? Apabila mereka ditimpa kesusahan dan kesempitan hidup. Ketika itulah, bibir mereka akan menyebut kalimah Allah. Waktu itulah hati mereka merintih dan merayu memerlukan bantuan daripada ‘Azza wa jalla. Apa yang lebih menyedihkan ialah ada juga golongan manusia yang apabila ditimpakan musibah, mereka bukan semakin dekat dengan Allah, tetapi sebaliknya. Bahkan ada juga yang menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan aturan Tuhan. Seolah-olah tuhan tidak berlaku adil kepada mereka. Na’uzubillahi min zaalik. Semoga Allah menjauhkan kita daripada sifat-sifat derhaka seperti ini.

Sebagai seorang manusia yang bertaraf hamba, selayaknya lafaz syukur tidak pernah lekang daripada bibir kita. Bila senang kita bersyukur, bila susah kita bertambah syukur kerana walaupun kita susah sebenarnya masih ada yang lebih susah daripada kita. Pada ketika itulah, Allah swt sebenarnya membuka peluang untuk menaikkan darjat seseorang hambanya. Siapa yang cekal dan bersabar menghadapi ujian tersebut, maka semakin hampir dirinya dengan Allah.

Semoga hati ini sentiasa bersabar dan bersyukur dengan apa jua ketetapan Allah swt. Sesungguhnya Allah tidak akan memberatkan ujian kepada seseorang hamba melainkan apa yang layak baginya. Semoga aku berjaya melepasi semuanya. Hanya padaMu Ya Rabb aku bersujud, dan padaMu aku memohon pertolongan, tempat aku berserah dan bertawakkal. Hanya padaMu..


Ingatlah Allah SWT telah berfirman :

(ingatlah) Bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang Yang lebih baik daripadanya).
                                                                         (Surah Muhammad : 36)

4 comments:

  1. Sabar...setiap detik yg dilalui ini pasti jd kenangan untuk dihargai suatu hari nanti...setiap ujian yg dilalui ini kelak akan menjadi bukti...tabahkanlah hati kita untuk melaluinya hingga kita bertemu kebahagiaan dari Ilahi...setiap kesusahan itu pasti disusuli dengan kesenangan...

    ReplyDelete
  2. wow!!i like it ustaz...hehe!best baca apa yang ustaz tulis.. =D -Daniel...

    ReplyDelete
  3. salam ziarah sheikh
    www.zulkifliahmad.blogspot.com

    ReplyDelete
  4. wow..salam ustaz puitis.hehehe
    nak promo gak la.sharudinhashim.blogspot.com

    ReplyDelete