Pages

Friday, August 19, 2011

Mahalnya Pengalaman Itu


Syukurku pada Mu Ya Allah swt. Untuk ke sekian kalinya, dengan sifatMu Yang Maha Pemurah, Engkau masih lagi memberikan peluang untukku merasai segala macam nikmat daripadaMu Ya Allah. Dan pastinya ia datang sebagai suatu amanah untukku pikul dan laksanakan dengan penuh tanggungjawab sebagai seorang khalifahMu.

Menjelang 17 Ramadhan 1432H, Allah swt memberi izin kepadaku untuk merasai sebuah pengalaman yang amat bermakna sepanjang kehidupanku ini. Aku dijemput untuk memberikan sedikit perkongsian ilmu bersama-sama dengan saudara-saudara di Pusat Serenti PUSPEN Karangan, Kulim. Pada hakikatnya aku bukanlah seorang yang layak untuk tugas itu, namun aku merasakan itu adalah suatu peluang yang diberikan oleh Allah swt. Mungkin dengan itu, aku akan lebih kenal siapa diriku, dan semakin tawaduk dengan Robbul Jalil.

Seperti biasa aku perlukan sedikit maklumat mengenai 'audience' di PUSPEN. Dan internet adalah penyelesaiannya. Alhamdulillah dengan sedikit maklumat, aku sediakan sedikit bahan power point dan video untuk dikongsikan nanti. Mujurlah Allah swt memudahkan urusanku dan ianya dapat disiapkan pada pagi itu.

Sampai saja di sana, Ust Abd Latif sedang menunggu untuk mengiringiku masuk. Katanya kalau diikutkan perlu tinggal ic dan h/p di post pengawal. Tetapi aku tidak pula diarahkan demikian. Mungkin sebab diiringi oleh beliau dan mungkin masuk atas nama majlis. 

Permulaan majlis, seorang pelatih mengalunkan ayat-ayat suci al-Quranul Kareem. Subhanallah, merdu suaranya dan baik sekali bacaannya. Maksudnya beliau memang mempunyai latar belakang mengaji al-Quran yang baik sebelum masuk ke situ. Semoga ayat-ayat mengenai pengharaman dan keburukan arak, judi serta menenung nasib memberi peringatan buat semua hadirin.

Dengan jumlah pelatih seramai 400 orang lebih telah memenuhi ruang-ruang masjid, aku sedikit terasa gugup untuk memulakan perkongsian ilmu. Namun, keberkatan doa yang dibacakan oleh Nabi Musa ketika berhadapan dengan Firaun dan selawat ke atas Nabi, lama-kelamaan aku semakin selesa.

Seusai slot perkongsian ilmu, kami berbuka puasa beramai-ramai. Apabila azan Maghrib di alunkan, Subhanallah merdunya suara. Begitu juga azan Isyak. Ketiga-tiga mereka mempunyai suara yang merdu. Aku amat yakin, mereka mempunyai asas ilmu agama tetapi mungkin kerana tersalah pilih kawan, atau faktor persekitaran, mereka tersasar seketika daripada landasan syariat Islam.

Sepanjang aku bersama dengan mereka sehingga selesai solat terawih, beberapa perkara yang dapatku simpulkan di sini buat renunganku dan sidang pembaca sekalian.
  1. Allah swt tidak memandang paras rupa, darjat dan latar belakang seseorang hambaNya, tetapi Allah swt menilai pada tahap ketaqwaan seseorang itu terhadap Penciptanya. Mungkin mereka pernah terkapai-kapai di dalam kegelapan, tetapi sekiranya mereka telah menemui pintu cahaya daripada Robbul Jalil, mungkin pengakhiran mereka lebih baik daripada kita.
  2. Manusia akan sesat tanpa iman di hati. Menurut Ust Abd Latif mereka pernah menerima seorang pelatih yang merupakan doktor gigi. Tetapi terlibat dengan ketagihan dadah setelah mengalami masalah rumah tangga. Biar setinggi mana ilmu yang kita capai, tidak akan mampu menangkis godaan syaitan jika tidak dibenteng dengan kepaduan iman.
  3. Ilmu tanpa amal adalah sia-sia. Kelemahan orang berilmu ialah apabila tidak mengamalkan apa yang dipelajari. Itulah lubang untuk syaitan mudah menyesatkan manusia yang berilmu. Walaupun ilmu agama penuh di dada, namun pada hakikat dirinya lemah kerana ia tidak pernah diamalkan justeru memudahkan hawa nafsu dan syaitan untuk melalaikannya.
  4. Besarnya pengaruh dadah ke atas manusia, biarpun baru sekali mencubanya. Menurut Ust Abd Latif, seorang pelatih memberitahunya keseronokan mengambil dadah melebihi keseronokan melakukan seks. Na'uzubillahi min zaalik.
  5. Wajib ke atas sekalian umat untuk membantu dan memberi sokongan kepada golongan ini kerana majoriti daripada pelatih tidak mampu lari daripada tarikan dadah jika mereka dibiarkan hidup sendirian.

Apa yang mampu di ucapkan hanyalah doa kepada Allah swt, mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk tinggalkan sejarah hitam mereka dan membuka pintu hidayah yang akan mengubah nasib mereka kelak. Ia adalah sebuah pengalaman yang amat berharga buat diriku yang sering lalai dengan tanggungjawab terhadap Pencipnya.

Orang yang bertaubat kepada Allah swt setelah melalukan kekhilafan adalah lebih mulia daripada orang yang akan berlapang dada setelah melakukan kebaikan. 

Orang yang bertaubat akan sentiasa mengenangkan dosa-dosanya, lalu semakin tunduk bermunajat kepada Allah swt.

Tetapi orang yang berlapang dada akan lebih selesa dan tersenyum mengenangkan amalan kebaikannya sehingga boleh melalaikan.

Wallahu Ta'ala A'lam 

Ya Allah aku berkongsi untuk mengingatkanku di kala diriku lupa, aku menulis untuk menasihatkan saudaraku yang sedang leka. Mohon dijauhkan diriku daripada sifat riyak dan takabbur kerana itu bukan sifat yang layak bagiku.


 

Thursday, August 18, 2011

Rindukan Summer Camp



Alhamdulillah, baru-baru ini telah selesai sebuah program Ihya' Ramadhan peringkat Negeri Pulau Pinang selama tiga hari dua malam yang melibatkan seramai 79 orang peserta lelaki pelajar-pelajar sekolah menengah. Sengaja ingin ku catatkan di sini kerana ia adalah memori indah untuk ku kenang dimasa hadapan. 

Setelah diberikan tanggungjawab sebagai 'Kem Kom' semasa mesyuarat yang lalu, aku terasa sangat kerdil sekali memandangkan jurulatih-jurulatih yang lain adalah ustaz-ustaz yang lebih berpengalaman, dan berilmu dariku. Namun, sokongan daripada mereka membuatkan aku lebih kuat dan doaku pada Allah agar hati ini ikhlas berprogram demi mencari redha daripadaNya.

Aku sangat bercita-cita untuk menggerakkan kem ini seolah-olah seperti program Summer Camp anjuran Akrab Management. Aku pernah menjadi peserta kem ini semasa di Tahun 5 dan Tingkatan 1. Alhamdulillah pernah juga kembali ke kem tersebut sebagai 'abg fasi'  sebanyak dua kali. Betapa kem ini telah berjaya membuka ruang-ruang hatiku untuk lebih mengenali siapa Tuhanku walaupun baru berusia 11 tahun ketika itu. Berdasarkan pemerhatian, kekuatan kem ini adalah pada pengisian zikir. Setiap masa akan diisi dengan zikir. Suara merdu Ustaz Hassan Ismail di tambah dengan susunan ayatnya yang menusuk jauh ke dalam hati pasti mencairkan hati-hati yang keras selama ini.

Dengan izin Allah, cita-cita ini Allah permudahkan. Semua program berjalan dengan baik. Solat berjemaah, Tadarus al-Quran, Zikrullah, Solat Sunat Dhuha, Solat Sunat Tarawih, dan Qiyamullail. Setiap perancangan dapat dilaksanakan dan semua peserta mengikutinya dengan baik. Ini tandanya Allah bersama kita, bisik hati kecilku. Setiap permulaan dan pengakhiran sesuatu slot, kami akan berzikir. Letakkan tangan di atas bahu kawan sebelah atau kadang-kadang genggam sahaja bagi mengeratkan hubungan sesama peserta.

Di awal program, ada juga segelintir peserta yang berat mulut untuk berzikir. Berzikir ala kadar saja. Tetapi setelah diajak dan dengan keberkatan alunan zikir kawan-kawan yang lain, Alhamdulillah akhirnya semua berzikir. Mudah-mudahan ianya lahir daripada hati yang ikhlas.

Apa yang penting, walaupun aku sebagai fasi, sebenarnya aku belajar banyak perkara sepanjang program tersebut. Tertarik hati ini apabila melihat Ustaz Fathim Mohsin semasa mengendalikan slot Qiyamullail dan Ustaz Khairul Fitri semasa mengendalikan slot muhasabah. Menyedarkan diri ini untuk kembali terjaga demi mencari jalan menuju Ilahi.

Semoga program ini diredhai oleh Allah swt. Semoga program ini mampu menyedarkan hati-hati peserta yang sedang lena dan lalai. Semoga kata-kata penyesalan yang mereka zahirkan semasa slot refleksi akan memberi impak untuk mereka terus mencari redha Ilahi. Teringat seorang peserta daripada tingkatan enam rendah. Secara terang-terang semasa sesi refleksi, dengan lelehan air mata beliau akui sebelum ini apabila ibunya suruh solat, beliau ambil wuduk dan masuk bilik tidur atas katil. Tetapi beliau berjanji, perkara itu tidak akan berlaku lagi. Semoga Allah swt membantu dirinya untuk mengotakan janjinya.

Aku mengajar untukku lebih belajar, Aku mengingatkan untukku lebih beringat.
Wallahua'lam

Friday, July 29, 2011

Mari Menyahut Seruan Ramadhan




Dengan nama Allah swt, bingkisan ini dimulakan. Terasa begitu cepat bumi ini berputar walaupun perjalanan masanya tidak pernah berubah walaupun sesaat. Semoga Allah mengizinkan kita sempat untuk bersama dengan Ramadhan yang akan tiba beberapa hari sahaja lagi. Bagi insan yang telah berumur 30 tahun, mungkin ibadat puasa pada kali ini adalah bagi yang ke-20 untuknya. Atau mereka yang berumur 20 tahun, ini mungkin kali yang ke-10. 

Namun, sejauh mana Ramadhan tersebut telah memberikan impak positif kepada dirinya sehingga mampu menggapai janji-janji Allah swt buat hambaNya yang bersabar. Atau mungkin ianya telah berlalu tanpa sebarang kesan yang boleh mengangkat darjat dirinya di sisi Allah 'Azza Wa Jall. Jika demikian, ia adalah suatu pembaziran masa yang amat merugikan. Seperti mana yang telah disabdakan oleh Baginda Rasulullah saw,
"Dua nikmat yang manusia banyak tertipu dan rugi, iaitu kesihatan dan waktu lapang"                                                                               (Soheh Bukhari)
Secara umumnya, begitulah sifat sebahagian besar insan-insan di atas muka bumi ini. Perasaan terlalu cintakan dunia sehingga terlalu jauh daripada akhirat. Justeru, penulis ingin mengingatkan diri sendiri terutamanya, dan buat semua yang membaca bingkisan ini agar kita tidak mensia-siakan peluang keemasan ini untuk ke sekian kalinya. Peluang untuk merebut kebesaran Rahmat dan Maghfirah Allah swt sepanjang sebulan di dalam bulan Ramadhan. Suatu tempoh masa untuk sesi penyucian roh dan sesi mengemaskini sistem kehidupan agar lebih selari dengan fitrah azali, bertepatan dengan buku manual kehidupan, al-Quranul Karim.

Umum mengetahui betapa tingginya kemuliaan bulan Ramadhan berbanding dengan bulan-bulan lain seperti yang telah disampaikan melalui ceramah dan artikel. Ironisnya, ia dipandang enteng oleh sebahagian besar insan di atas muka bumi ini. Sehingga membiarkan ia berlalu pergi tanpa digarap dengan penuh iltizam.

Sebelum detik-detik Ramadhan itu menjelang tiba, alangkah beruntungnya insan-insan yang gigih mendisiplinkan diri dengan beberapa persediaan rapi. Memastikan kita menyahut sapaan Ramadhan dengan persiapan yang penuh gilang-gemilang. Di antaranya ialah:

1. Kenali Ramadhan untuk dicintai. Benarlah pesanan orang-orang tua, 'tak kenal maka tak cinta'. Luangkanlah sedikit masa, cuba kenali Ramadhan yang dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad saw ini. Di zaman teknologi ini, semua maklumat di hujung jari anda. Taip sahaja Ramadhan, pasti terhidang betapa enaknya beribadat di dalam bulan tersebut. Pasti hati-hati akan terpaut untuk mengejarnya. Jantung berdegup kencang bagaikan tidak sabar menanti ketibaan 1 Ramadhan.


2. Bermuhasabah diri dengan mutu ibadat kita sepanjang Ramadhan yang telah berlalu. Cuba kita renungkan kembali amal ibadat kita sepanjang kita melalui bulan Ramadhan sebelum ini. Apakah yang perlu diteruskan dan apakah yang perlu dipertingkatkan. Selain Allah swt, pastinya kita lebih mengenali siapa diri kita. Maka perbaiki mutu ibadat puasa kita pada kali ini. Tidak berpuasa semata-mata menahan lapar dan dahaga, sebaliknya berpuasa seluruh anggota badan luar dan dalam daripada melakukan kemaksiatan terhadap Allah swt.


3. Perteguhkan yang fardhu, perbanyakkan yang sunat. Bukankah di dalam suatu hadis Rasulullah saw telah menyatakan. kelebihan ganjaran ibadat akan digandakan pada bulan Ramadhan. Ibadat sunat akan dikira seperti ibadat wajib, manakala ibadat wajib akan digandakan kepada 70. Suatu tawaran 'Mega Sale' buat ahli-ahli ibadat yang sentiasa menahan diri daripada melakukan kemungkaran dan menahan diri daripada sifat malas beribadat kepada Allah swt.


4. Berdampinglah dengan al-Quran. Bukankah ia diturunkan pada bulan Ramadhan? Lihat sahaja teladan daripada Junjungan Besar Nabi Muhammad saw, Baginda mengulangi al-Quran dihadapan Jibril as sebanyak dua kali pada bulan Ramadhan. Membuktikan keagungan bertadarus dan bertadabbur dengan al-Quran sepanjang bulan Ramadhan.


5. Bersedialah untuk 10 malam yang terakhir. Jika diperhatikan, masjid dan surau penuh sesak pada awal Ramadhan. Tetapi semakin lesu bila menghampiri penghujungnya. Mungkin ramai yang telah salah percaturan, atau mungkin kerana kejahilan ilmu, atau mungkin telah kalah sebelum berjuang. Sedarilah kemuncak ketinggian rahmat Allah di dalam bulan Ramadhan adalah pada malam Lailatul Qadar. Justeru, semua persiapan di atas adalah bagi menyahut seruan Allah swt pada malam tersebut. Rasulullah saw juga ada mengingatkan agar mencari Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir. Dengan persiapan rapi sepanjang 20 hari sebelumnya, pasti kita akan lebih mudah mengharungi pada 10 hari yang berikutnya.


6. Anggaplah Ramadhan ini adalah yang terakhir. Begitulah caranya para sahabat dapat mencapai kenikmatan di dalam beribadat. Melakukan setiap perkara dengan sebaik mungkin dengan beranggapan ia adalah peluang yang terakhir. Secara tidak sedar, ia merupakan suatu motivasi untuk menggerakkan roh daripada terlena dibuai mimpi keindahan dunia yang fana ini. Dengan itu, setiap saat yang berlalu akan diisi dengan amal ibadat yang terbaik tanpa diabaikan begitu sahaja.


Diharapkan semua persediaan ini akan menguatkan kita semasa menyahut seruan Ramadhan tidak lama lagi. Bagi memastikan iman kita tidak goyah sepanjang berjuang melawan godaan hawa nafsu nanti. Seterusnya membawa kita ke arah menggapai janji Allah swt terhadap hamba-hambaNya yang bertaqwa. Itulah perjuangan yang sebenar bagi menjamin kesenangan hidup di alam baqa'. 


Ya Allah, Semoga diri ini lebih beringat, ketika sedang mengingatkan...
Wallahu a'lam