Pages

Monday, November 1, 2010

Ada apa dengan 30.10.10?

Bagi sesiapa sahaja yang membaca tajuk ini, pasti menjadi tanda tanya kepada kalian tentang apa yang berlaku pada hari tersebut. Pada diri kalian mungkin tarikh ini tidak membawa sebarang makna istimewa. Tetapi bagi diri penulis, ia merupakan detik manis yang pastinya menjadi memori indah di dalam ingatan.

Besarnya pengorbanan sayang…

Bagi pasangan PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh) seperti aku dan isteriku, hujung minggu merupakan hari bagi kami bertemu. Semenjak isteriku mengandung, hanya aku yang ‘travel’ ke sana. Tetapi hujung minggu ini, isteriku sanggup untuk menaiki bas datang ke sini bagi menemaniku untuk menghadiri ‘Annual Dinner’ sekolah. Suatu pengorbanan yang menghibakan hati sang suami.

Justeru, menjadi kewajipanku sebagai suami untuk memberi layanan teristimewa buat si Permaisuri. Hydro Hotel Penang, Miami Beach, Batu Feringghi menjadi hotel pilihanku sebagai tempat si Permaisuri beradu. Kedudukannya yang berhadapan dengan pemandangan laut pasti menenangkan jiwa sesiapa sahaja yang berada di situ. Hanya sekadar ini sahaja yang termampu abang sediakan untuk sayang. Semoga ketenangan di sini dapat mengubati keletihan dan kepenatan sayang.

Hydro Hotel Penang


keadaan di dalam bilik


 Pemandangan dari bilik


 Miami Beach yang bertentangan dengan hotel


Batu Feringghi (5 minit dari hotel)

'Arabian Night'

Pada malam tersebut, kami pergi ke Tarbush Restaurant di Batu Feringghi untuk menghadiri ‘Annual Dinner’ guru-guru dan staf sekolahku. Perjalanan yang hanya mengambil masa tidak lebih 10 minit dari hotel. Dengan bertemakan ‘Arabian Night’ semua tetamu hadir dengan pakaian khas masing-masing. Aku dan isteri juga tidak terkecuali walaupun hanya sekadar cukup-cukup syarat.

Alhamdulillah, apa yang kami rancangkan dapat dilaksanakan pada malam tersebut. Rata-rata tetamu yang hadir berpuas hati dengan makanan dan tempat yang dipilih. Cukup untuk membuatkan penat lelah barisan penganjur selama ini menjadi suatu yang bermakna dan berbaloi.

Hampir semua yang hadir pulang tanpa tangan kosong. Sekurang-kurangnya ‘cream caramel’ boleh memaniskan mulut di rumah masing-masing. Bagi yang bernasib baik, cabutan bertuah membuatkan tangan yang kosong menjadi terisi. Aku dikira insan yang agak bertuah juga kerana nomborku menjadi pilihan Mr. Tan Lock Yee. Thank you Mr. Tan! Apa yang lebih memeranjatkan, aku dipilih sebagai pemenang ‘Pertandingan Rekacipta Blog’, pertandingan yang dianjurkan Mr. Foo bagi membiasakan guru-guru sekolahku dengan dunia blog. Dengan niat sekadar ingin belajar, maka terbinalah blog ‘Sebuah Perkongsian’ ini. Siapa sangka hadiah tajaan Tuan Pengetua, Mr. Gan Hua Beng ini agak lumayan. Percutian 3 hari 2 malam di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort bernilai lebih RM1k. Ketawa kecil aku apabila memikirkan kembali. Semuanya adalah rezeki daripada Allah swt. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Mr. Gan, selaku Maharaja pada malam tersebut.

Di penghujung majlis, diumumkan anugerah ‘King & Queen’. Ketua Pengarah projek, saudara Hafandi pastinya tersenyum lebar kerana dipilih sebagai King. Manakala Kak Aida sebagai Queen. Tahniah kepada semua. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian kerana memberikan sokongan dan menjayakan majlis tersebut serta memberikan kerjasama sepanjang tahun 2010. Mohon maaf kerana diri ini sering merungsingkan kalian apabila datang musim bayar yuran ahli kelab SRO. 


Dari jauh dah boleh nampak

 antara tetamu yang hadir


The King & The Queen


senyum gumbira


 bersama Pengurus Tarbush Restaurant, En. Zahrin (x-smkak)


 suasana di dalam Tarbush Restaurant


Hj. Shukri & Hjh. Nor Rabiatun, InsyaAllah.. (",)

Wednesday, October 27, 2010

Nikmatnya Jika Bersahabat

Ahmad dan Ali adalah dua orang sahabat baik dan mereka tinggal berjiran. Kedua-duanya hidup dalam kemiskinan dan kesempitan. Setelah seharian berusaha, masing-masing akan berdoa. Begitulah kelaziman mereka berdua. Mereka akan singgah di masjid setiap kali habis bekerja untuk solat dan berdoa.

"Apakah doamu pada hari ini?" tanya Ahmad kepada sahabatnya, Ali.
"Aku berdoa agar esok hari aku akan dimurahkan rezeki. Bulan ini perbelanjaanku lebih daripada biasa," jawab Ali.
"Doamu?" Ali pula bertanya kepada Ahmad. Ahmad hanya tersenyum tanpa berkata apa.

Keesokan harinya, Ali memberitahu Ahmad berita gembira. "Alhamdulillah, doaku semalam telah dimakbulkan Allah. Majikanku beri bonus pada hari ini."
"Alhamdulillah, hari ini kau akan berdoa apa pula?" tanya Ahmad.
"Aku berdoa moga isteriku selamat bersalin." jawab Ali.
Mereka berdua pun masuk ke dalam masjid lalu mengerjakan solat serta berdoa.

Sejurus usai berdoa, Ali bertanya, "Kau pula berdoa untuk apa hari ini?".
Ahmad tersenyum, masih tidak menjawab.

Beberapa hari kemudian, Ali memberitahu berita gembira. "Syukur isteriku selamat bersalin malam tadi. Nampaknya doaku makbul, Mad."
"Alhamdulillah... Tahniah, Ali. Aku berdoa juga agar anakku selamat," kata Ahmad dengan wajah muram.
"Kenapa dengan anakmu?". Tanya Ali dalam keadaan terkejut.
“Anakku yang bongsu sakit, Ali. Keadaannya amat membimbangkan.”
“InsyaAllah, kau doalah kuat-kuat sikit. Minta anakmu selamat,” kata Ali.

Beberapa hari kemudian, mereka berbual seusai solat seperti kebiasaannya.
“Bagaimana dengan anakmu?” anya Ali.
“Macam itu juga. Sudah beberapa hari tapi keadaannya Cuma bertambah baik sedikit sahaja.”
“Doa banyak lagi Ahmad. Aku tidak sangka doaku sangat makbul. Hampir setiap yang aku doakan mustajab. Tapi kau…...”
“Kenapa dengan aku?”
“Mad, aku lihat Ahmad doamu tidak mustajab.” Ahmad tersenyum…
Melihat Ahmad tersenyum, Ali semakin hairan lalu bertanya lagi, “Aku hairan, doamu tidak mustajab.”
“Sebenarnya doaku telah banyak dimakbulkan Allah. Syukur Alhamdulillah.”
“Doa yang mana? Sebab aku lihat tiada tidak ada apa-apa perubahan pada kau.”
“Doaku sejak dulu hanya untukmu sahabatku. Setiap hari aku berdoa agar Allah makbulkan setiap apa yang kau doakan padaNYA.
(Cerita dipetik daripada Majalah Solusi Isu 22...)

Cerita ini sekadar ingin membuka minda dan menilai iman di dada kita khususnya bagi diriku sendiri. Boleh juga jika hendak dikaitkan dengan prinsip hidup seorang penulis buku dan blog yang terkenal iaitu saudara Hasrizal atau lebih terkenal dengan Saiful Islam. Berprinsipkan “Erti Hidup Pada Memberi”, membuatkan aku kagum dengannya. Suatu prinsip yang singkat pada ungkapan tetapi sebenarnya mempunyai maksud yang begitu luas.

Bukankah Allah telah menjanjikan syurga bagi seorang sahabat yang mendoakan sahabatnya secara diam-diam. Begitulah indahnya apabila dua orang yang bersahabat kerana Allah. Matlamat utama mereka hanyalah keredhaan daripada Allah swt.

Hidup ini perlu banyak memberi kerana sebaik-baik manusia adalah yang memberikan manfaat kepada manusia yang lain. Perlu diingat, tidak semestinya pemberian itu hanya dari sudut kebendaan semata-mata. Sebaliknya doa juga adalah pemberian yang paling berharga, lebih-lebih lagi doa yang tidak diketahui oleh penerimanya.

Jangan sekali-kali kita lupa dan lalai dengan nikmat yang dikecapi selama ini. Kerana mungkin apa yang kita miliki sekarang adalah berkat doa daripada sahabat kita kepada kita. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada, berkongsilah apa yang kita miliki, dan jangan menghitung berapa banyak yang kita dapat, tetapi hitunglah berapa banyak yang telah kita beri.
Tiba-tiba sahaja teringat sebuah lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarhamhu Ustaz Asri Rabbani. “Mana milik kita, Tidak ada milik kita, Semua yang ada, Allah yang punya.”

Biarlah kita berlapar, asalkan dirinya kenyang.
Biarlah kita sempit, asalkan dirinya selesa.
Biarlah kita susah sedikit, tetapi menyenangkan hidupnya.
Biarlah… kerana Allah akan menganugerahkan ganjarannya.
InsyaAllah (“,)


Alangkah indahnya hidup bersahabat,
Apabila susah, tangannya dihulurkan
Apabila gelisah, nasihatnya mendamaikan
Apabila menangis, pujukannya menenangkan
Apabila keseorangan, dia sanggup menemankan
Apabila tersasar, pantas dia meluruskan
Apabila memerlukan, dia datang tanpa diarahkan
Apabila didunia, dia sebagai teman
Di akhirat kelak, dia sebagai jiran…
(syoran_84, 2005)



Tuesday, October 26, 2010

Di keheningan malam...

Dalam keheningan malam, selepas baru pulang daripada halaqat bersama teman-teman, hati bagaikan meronta untuk meluahkan sesuatu. Walaupun sebenarnya diri sendiri pun tidak begitu pasti apa sebenarnya yang ingin diluahkan. Entah mengapa hati ini terasa sebak seperti sedang melayari perasaan sedih dan pilu. Sedihkan tentang perkara apa? Apakah puncanya? Persoalan itu yang membingungkan aku.

Telingaku bagaikan terngiang-ngiang lagu nasyid “Bila Waktu Telah Berakhir” yang dinyanyikan oleh Opick, seorang penasyid daripada negara jiran yang aku gemari. Lantas, aku segera memasangnya dan mengulangi lagu yang sama berulang-ulang kali. Lirik yang begitu menyentuh hati sesiapa sahaja yang menghayatinya. Tiba-tiba pipi yang kering terasa basah. Jarang sekali air jernih ini mengalir keluar. Dengan perasaan sesal dan insaf dengan kekhilafan diri, semoga air inilah yang akan menyejukkan aku  disaat semua manusia di dalam kepanasan sementara menunggu perhitungan diri di hadapan Robbul Jalil kelak.

Allahumma Ya Ghoffar, Ighfirli zunuubi wa khotii ati. Innaka antal ghofuurur rahiim..


Lagu : Bila Waktu Telah Berakhir
Penyanyi : Opick

Bagaimana kau merasa bangga
Akan dunia yang sementara
Bagaimanakah bila semua
Hilang dan pergi meninggalkan dirimu

Bagaimanakah bila saatnya
Waktu terhenti tak kau sedari
Masihkah ada jalan bagimu
Untuk kembali mengulangkan masa lalu

Dunia dipenuhi dengan hiasan
Semua dan segala yang ada
Akan kembali padaNya

Bila waktu telah memanggil
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tingallah sepi