Pages

Tuesday, July 5, 2011

Luahan Hati Sasterawan Negara




Semakin lara kita didera bara—

kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu

oleh:A Samad Said

Monday, July 4, 2011

Hadirkan Redha di dalam Hatimu, Agar Berpisah Tidak Gelisah...



Alhamdulillah, syukurku padaMu Ya Allah kerana aku selamat tiba ke bumi Pulau Pinang Maghrib tadi. Itu tandanya aku telah selamat menghantar isteri dan anakku ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Tempat aku menghabiskan cuti hujung mingguku semenjak hampir setahun setengah yang lalu. Aku sempat berehat daripada meneruskan aktiviti itu pada tiga bulan lepas memandangkan isteri dan anakku berada di kampung. Dan kini, tempoh itu telah berakhir, isteriku perlu kembali bekerja di sana.

Justeru, bermulalah episod baru dalam kisah hidupku. Aku perlu berjauhan pula dengan anakku Nur Safiyya Amani. Terasa sangat berat hati ini untuk tinggalkan mereka tengah hari tadi. Perasaan yang tersangat hiba, sehingga terasa basah di pipi. Pelik! tidak pernah ku terasa seperti ini sepanjang ingin berpisah seketika dengan isteriku selama ini. Mungkin kiniku sedar, aku terpaksa berjauhan dengan dua insan yang ku sayang. Apatah lagi bila aku amat sedar, dua insan ini terpaksa berdikari tanpa aku di sisi. Tanpa sanak saudara yang boleh membantu. Tidak sama seperti bila ku tinggalkan mereka di kampung. Mak, ayah dan adik-adik boleh tengok-tengokkan. Aku juga tidak dapat melalui pengalaman perubahan Safiyya setiap hari.

Sengaja aku cepat-cepat tinggalkan mereka. Tidak mahu air mata ini tumpah di hadapan mereka. Sedangkan aku sentiasa mengingatkan mereka agar selalu kuatkan diri, jangan lemah semangat. Mana boleh aku pula yang tampak lemah. Aku bisikkan di dalam hati kecil ku "Tawakkaltu 'alaika Ya Allah, InsyaAllah setiap hujung minggu Allah akan mempertemukan kita."

Buat isteri dan permata hatiku,
Dari jauh, kalian sentiasa ku ingati,
Bersama memori indah kita bersama,
Rindu di hati terubat jua.


Isteriku, Abang sentiasa mendoakan kesejahteraanmu,
Agar kamu diberi kekuatan oleh Allah,
Melaksanakan amanah dan tanggungjawab,
Dengan sabar dan cekal hati.

Apa yang ku harapkan, semoga ujian ini dapat kami harungi dengan sifat redha kepada Allah swt. Disebalik jerih payah ini, mungkin punya 1001 hikmah daripada Allah Azza Wa Jalla.

Hadirkan redha di dalam hatimu, agar berpisah tidak gelisah...



Saturday, May 21, 2011

Ke Peringkat Seterusnya...

Bismillahirrahmanirrahim... 
Dengan nama Allah, ku mulakan kembali aktiviti di masa terluang yang telah lama ku tinggalkan. Mungkin perasaan malas membuatkan semua yang bermain di fikiranku sengaja tidak dipahatkan di dalam ruangan ini. Seperti terlupa niat sebenar blog ini diwujudkan. Semoga aku lebih beristiqamah dengan aktiviti ini, InsyaAllah...


Manisnya Sebuah Pengalaman

Kita tidak mampu menceritakan kemanisan ais krim, andai kita tidak pernah merasai sendiri kelazatannya. Kita pasti tidak sesekali akan memegang bara api setelah kita pernah merasai kepanasan api. Begitu juga kita akan teruja apabila bercerita tentang keseronokan terbang di udara setelah merasai sendiri perasaan tersebut. Begitulah besarnya nikmat sebuah pengalaman kerana ia bagaikan guru kepada kehidupan kita. Merasai sendiri  sesebuah pengalaman akan membuatkan kita lebih teruja apabila berbicara mengenai pengalaman tersebut. Bahkan ia membuatkan kita lebih matang untuk hadapi kehidupan yang mendatang.

Alhamdulillah.. Allah swt izinkan..

Detik 12.20pm tanggal 8 April 2011, hari Jumaat, menjadi saksi betapa hati ini terlalu bersyukur kepada Allah 'Azza Wa Jalla kerana mengizinkan aku merasai nikmat kehadiran seorang bayi yang zahir daripada darah dagingku sendiri. Dahulu bibir ini selalu membicarakan keseronokan sepasang ibu bapa apabila dianugerahkan cahaya mata ketika berceramah di kem motivasi atau mengajar di dalam kelas. Sebagai seorang anak, kita perlu menghargai jasa dan pengorbanan kedua ibu bapa. Begitulah nasihatku.

Tapi di saat mata kepalaku sendiri melihat detik-detik kelahiran bayiku di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Subahanallah, indahnya perasaan tersebut. Susah untuk digambarkan. Lalu terlintas di benak fikiran, betapa apa yang aku ceritakan selama ini sebenarnya sangat kurang perasaannya berbanding di saat aku meluahkan di sini pada saat ini. Pengalaman itu, tersangat manis untuk ku kenang sepanjang hayatku.

Alhamdulillah, syukurku padaMu Ya Rabb kerana Engkau memberi aku peluang untuk pergi ke peringkat seterusnya. Subhanallah, hebatnya nikmat menjadi seorang ayah. Allahu Akbar, betapa anugerah ini tersangat indah dan sempurna yang telah Engkau anugerahkan kepadaku. Terima kasih Ya Allah..

Perasaan yang pelbagai..

Hari itu, aku melalui sendiri detik-detik cemas, perasaan hati yang teramat mengharapkan bantuan Rabbul Jalil, dan hati yang gundah. Setiap saat yang berlalu bagaikan berjam-jam lamanya di kala peritnya melihat orang tersayang sedang menahan kesakitan bertarung nyawa. Andainya aku dapat berkongsi kesakitan itu. Hanya sokongan dan doa penuh harapan yang dapatku berikan. Dari malam hingga ke pagi, ku terpaksa tinggalkan isteriku di wad. Dari jauh, ku bermunajat memohon percaturan yang baik dari Tuhan Yang Sebaik-baik Perancang.

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Nur Safiyya Amani (cahaya yang tidak menyusahkanku menenangkan ku) nama yang sesuai untuk bayiku yang semenjak lahir hatiku teramat tenang pabila dapat menatap wajahnya dan ragamnya yang tidak macam-macam.

Sayang mak dan ayah..

Sepanjang menunggu, sempat juga ku berfikir. Mungkin pada 27 tahun yang lalu, beginilah perasaan ayahku semasa menunggu aku berjaya dilahirkan. Berjalan mundar-mandir sambil melihat jam. Hati yang cemas dan penuh harapan mengharapkan yang terbaik untuk insan yang dia sayang. Bibir yang tidak pernah berhenti menyebut bait-bait suci memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah swt. Kesakitan yang isteriku tanggung, mungkin seperti itulah yang telah dirasai oleh mak semasa berusaha untuk memberi peluang kepadaku merasai kehidupan di dunia ini. Tiba-tiba terasa sangat hiba. Terima kasih mak, terima kasih ayah. Semoga kehadiranku di dunia ini dan kehidupanku selama ini mendapat restu dan redha daripada kamu berdua.

Mohon padaMu Ya Rabb..

Alhamdulillah, hari ini Nur Safiyya Amani telah berumur 43 hari. Semoga Allah swt telah merencanakan yang terbaik untuk kehidupannya di dunia dan akhirat. Semoga lahirnya ke dunia ini, sebagai seorang anak yang Solehah, Mukminah dan diredhai Allah yang akan membahagiakan kedua ibu bapanya.


Ku memohon padaMu Ya Rabb, 
Kuatkan diriku dan isteriku untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Tunjukkan hidayah kepada kami agar kami dapat menunaikan amanah ini mengikut kehendakMu
Redhailah kehidupan kami sekeluarga di dunia dan di akhirat
Jauhkan kami sekeluarga daripada mala petaka
Lindungilah kami daripada sebarang kejahatan makhlukMu yang berniat jahat
Selamatkan kami daripada azab kubur dan api nerakaMu
Tempatkan kami sekeluarga di dalam syurgaMu bersama orang-orang yang Engkau redhai

Hanya padaMu kami berharap
Amiin Ya Rabbal 'Alamin..